TotalEnergies setuju tingkat pelaburan di Malaysia - PM
Afiezy Azaman
April 29, 2024 08:30 MYT
April 29, 2024 08:30 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat pembekal tenaga dari Perancis, TotalEnergies menyatakan komitmen dan bersetuju untuk mempertingkatkan pelaburan dalam sektor huluan minyak dan gas serta terus meneroka peluang dalam bidang penyimpanan karbon di Malaysia.
Perkara itu disampaikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TotalEnergies, Patrick Pouyanne dalam pertemuan ringkas dengan Perdana Menteri di sela Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF), di Riyadh, Arab Saudi, pada Ahad.
"TotalEnergies telah bertapak sejak 1984 di Malaysia dan memiliki pelaburan dalam pelbagai sektor di Malaysia, antaranya tenaga boleh diperbaharui, elektrik, minyak dan penyimpanan karbon.
"Semoga pelaburan ini dapat direalisasikan sesegera mungkin dan mencetus limpahan kemakmuran buat rakyat Malaysia, khususnya dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan perkongsian pengetahuan," kata Anwar dalam hantaran di akaun media sosial beliau pada Isnin.
Perdana Menteri kini berada di Riyadh dalam rangka lawatan tiga hari bagi menghadiri Mesyuarat Khas WEF.
Riyadh menjadi hos mesyuarat khas itu yang berlangsung selama dua hari bermula Ahad ini bertemakan 'Kerjasama Global, Pertumbuhan dan Tenaga untuk Pembangunan.'