Top Glove tutup tahun kewangan 2021 dengan keuntungan RM7.87 bilion
Raja Hisyam Raja Zaid
September 17, 2021 16:40 MYT
September 17, 2021 16:40 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat sarung tangan terkemuka Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) menutup tahun kewangan 2021 yang berakhir pada 31 Ogos lalu dengan mencatatkan keuntungan bersih RM7.87 bilion.
Ia melonjak 346 peratus daripada RM1.75 bilion pada tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Pendapatan syarikat untuk tahun ini juga meningkat 127 peratus kepada RM16.4 bilion daripada RM7.24 bilion pada tahun kewangan 2020.
Selain itu kedudukan tunai bersih kumpulan kekal stabil pada RM2.05 bilion pada 31 Ogos, 2021.
Top Glove dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata prestasi baik tersebut banyak dipengaruhi oleh permintaan kukuh sarung tangan global selain peningkatan harga jualannya pada tahun ini.
Bagaimanapun laporan kewangan pada suku keempat 2021 syarikat itu menunjukkan kemerosotan berbanding tahun sebelumnya dengan susut sebanyak 48 peratus.
Untuk tempoh itu, keuntungan bersih Top Glove merosot kepada RM607.95 juta berbanding RM1.18 bilion tahun ke tahun manakala pendapatan turun kepada RM2.12 bilion daripada RM3.11 bilion.
Dalam pada itu kadar keuntungan RM631 juta yang dicatatkan pada suku keempat itu banyak dipengaruhi oleh normalisasi permintaan berikutan pelaksanaan vaksin berskala besar dunia selain faktor lain.
“Prestasi juga dipengaruhi oleh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (EMCO) dimana industri sarung tangan di negeri Selangor tidak dibenarkan beroperasi selama 10 hari, yang melibatkan 50 peratus pengoperasian.
"Serta berikutnya Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) dimana kemudahan yang terkesan hanya dibenarkan beroperasi pada 60 peratus. Pengurangan pengeluaran memberi kesan terhadap penggunaan, mendorong kenaikan kos.” jelas kenyataan tersebut.
Walau bagaimanapun, sejajar dengan komitmen Top Glove untuk memberi penghargaan kepada kira-kira 136,000 pemegang saham awamnya, jumlah pembayaran dividen adalah 71 peratus, merangkumi pembayaran dividen khas 21 peratus ditambah 50 peratus selaras dengan dasar dividen syarikat.
Ia mewakili jumlah dividen 5.4 sen sesaham terdiri daripada dividen akhir 3.8 sen sesaham dan dividen khas 1.6 sen sesaham.
Menurut Pengarah Urusannya Datuk Lee Kim Meow, prestasi baik yang dicatatkan bagi tahun berakhir 2021 telah membolehkan syarikat untuk terus memberikan nilai kepada banyak pihak berkepentingan syarikat terbabit.
“Kami dapat memberi penghargaan kepada pemegang saham dan pelabur setia kami atas sokongan berterusan mereka.
“Ini juga menempatkan kami untuk terus menciptakan peluang pekerjaan dan memenuhi kewajiban cukai kami, sambil menyokong tanggungjawab sosial korporat dan juga masyarakat,” jelasnya lagi.
Jumlah dividen yang diisytiharkan untuk tahun kewangan 2021 berjumlah kira-kira RM5.21 bilion atau 65.1 sen sesaham yang mewakili peningkatan 452 peratus dari dividen tahun penuh untuk tahun kewangan 2020 sebanyak 11.83 sen sesaham.