Top Glove sedia 9,000 peluang pekerjaan bagi 2021
Haikal Raman
April 30, 2021 11:25 MYT
April 30, 2021 11:25 MYT
KUALA LUMPUR: Top Glove Corporation Bhd (Top Glove) menyediakan 9,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia tahun ini, termasuk kepada graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET).
Ia merupakan usaha berterusan pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu khususnya dalam tempoh mencabar ketika ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Lee Kim Meow berkata langkah yang dilaksanakan syarikat itu dijangka mampu membantu mengecilkan jurang pengangguran negara berikutan penularan pandemik COVID-19.
“Pandemik COVID-19 menyebabkan peningkatan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Justeru kami komited merancakkan kempen pengambilan pekerja pada tahun ini menerusi pelaksanaan pelbagai pameran kerjaya secara maya.
“Langkah ini adalah bagi menyahut seruan kerajaan dalam memberi fokus kepada pengambilan pekerja dari kalangan rakyat tempatan dan mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam rancangan Niaga AWANI di sini baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Lee berkata dalam tempoh tiga tahun lalu, Top Glove sudah bergerak ke arah peningkatan penggunaan automasi, digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI) dalam operasinya.
Menerusinya, syarikat memperuntukkan sebanyak 2,300 pengambilan pekerja dalam kalangan graduan TVET tempatan khusus bagi bidang tersebut.
“Kami yakin calon-calon TVET tempatan mempunyai keupayaan yang terbaik dalam mengisi peluang pekerjaan ditawarkan syarikat, ini kerana mereka telah mendapat pendedahan khususnya dalam latihan operasi dan teknikal.
“Kerajaan dilihat telah memainkan peranan yang baik khususnya dalam menyelaraskan silibus dan sistem TVET bagi memastikan kecekapan graduan untuk memenuhi keperluan industri,” ujarnya.
Program ini menawarkan pelbagai manfaat kepada tenaga kerja Top Glove termasuk pakej gaji yang menarik, pengembangan karier dan pelbagai faedah lain.
Top Glove selain itu turut menyasarkan untuk menawarkan sehingga 12,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia pada tahun hadapan.
Bagi perkembangan lain, beliau berkata, dalam hasrat syarikat untuk mencapai tahap Fortune Global 500 menjelang tahun 2030, pihaknya kini merancakkan pelaburan dalam fasiliti teknologi selain memperbanyakkan lagi pusat kajian dan pembangunan Top Glove.
“Usaha ini yakin mampu meletakkan syarikat pada posisi yang sihat pada masa hadapan selain kita akan melihat kepada potensi penggabungan dan pengambilalihan (M&A) mahupun kerjasama perniagaan.
“Malahan baru-baru ini kami mengumumkan langkah penyenaraian di papan utama Hong Kong, ia sekali gus membuka jalan bagi mengintai peluang kerjasama dan menembusi pasaran lebih luas.
"Mungkin bermula dari Hong Kong, kita akan melihat potensi di China dan negara-negara lain,” jelasnya.
#TopGlove
#PeluangPekerjaan
#PembangunanKarier
#TVET
#graduan
#PasaranPekerjaan
#FortuneGlobal500
#AI
#kecerdasanbuatan
#robotik