Top Glove rekod untung bersih RM2.06 bilion untuk suku ketiga 2021
Nailah Huda
Jun 9, 2021 18:18 MYT
Jun 9, 2021 18:18 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove Corp Bhd (Top Glove) hari ini mengumumkan untung bersihnya pada suku ketiga (Q3) tahun kewangan 2021 melonjak kepada RM2.06 bilion daripada RM347.9 juta pada tempoh sama tahun lepas.
Peningkatan itu berikutan permintaan seluruh dunia terhadap sarung tangan masih kukuh tatkala situasi COVID-19 belum reda.
Top Glove turut mencatatkan pendapatan jualan sebanyak RM4.16 bilion yang meningkat 147 peratus daripada RM1.69 bilion.
Dalam tempoh sembilan bulan pula, pendapatan jualan syarikat itu meningkat 246 peratus kepada RM14.29 bilion berbanding tempoh yang sama tahun lepas.
Manakala keuntungan bersih untuk tempoh sembilan bulan itu juga mengukuh dengan RM7.35 bilion, meningkat 11.7 kali ganda dari tahun ke tahun.
Namun, pendapatan jualan dan untung bersih lebih rendah dari suku ke suku, masing-masing kepada 22 peratus dan 29 peratus.
“Prestasi kumpulan suku ke suku lebih lemah bagi suku ketiga tahun kewangan 2021 disebabkan oleh penyesuaian terhadap harga jualan purata (ASP) sejajar dengan harga trend pasaran sarung tangan yang telah memuncak pada Februari 2021,” kata Top Glove dalam kenyataan pada Rabu.
“Volum jualan (kuantiti dijual) mereda empat peratus suku ke suku disebabkan oleh penurunan jualan ke Amerika Syarikat (AS) berikutan penghentian sementara penghantaran ke AS selaras dengan mematuhi syarat Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) negara itu.
“Walau bagaimanapun, permintaan sarung tangan global tetap berdaya tahan kerana penggunaan sarung tangan terus meningkat, didorong oleh pandemik yang berterusan,” jelas kenyataan itu lagi.
Berikutan prestasi itu, Top Glove mengumumkan dividen berjumlah 18 sen sesaham iaitu 71 peratus merangkumi dividen khas 21 peratus dan 50 peratus mengikut dasar dividen kumpulan.
“Keputusan suku ketiga tahun kewangan 2021 lebih rendah disebabkan oleh penurunan ASP yang sejajar dengan harga trend pasaran sarung tangan, serta kesan penjualan sarung tangan dari Malaysia ke Amerika Syarikat, yang sedang kami bekerjasama rapat dengan CBP AS untuk menyelesaikannya dengan cepat,” jelas Pengarah Urusan Top Glove, Datuk Lee Kim Meow mengulas prestasi syarikat itu.
Sebelum ini, pihak berkuasa kastam AS menuduh beberapa produk oleh Top Glove dihasilkan melalui penggunaan buruh paksa.