Top Glove jangka isu sekatan AS selesai hujung tahun

Bernama
September 17, 2020 11:56 MYT
Top Glove sedang berusaha untuk menyelesaikan isu ini dan ianya sedang berjalan lancar. - Gambar BERNAMA
Top Glove Corporation Bhd menjangkakan isu yang membabitkan perintah sekatan Amerika Syarikat (AS) ke atas sarung tangan getah yang dihasilkan oleh dua anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd akan selesai menjelang akhir tahun ini.
Menurut Pengerusi Eksekutif Tan Sri Lim Wee Chai, kumpulan sedang berusaha untuk menyelesaikan isu ini dan ianya sedang berjalan lancar.
"Kami percaya dalam tempoh sebulan, ia boleh diselesaikan tetapi ini hanya jangkaan semata-mata," katanya kepada media selepas taklimat analisis mengenai prestasi kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2020.
Pada 15 Julai, agensi Perlindungan dan Kawalan Sempadan AS (CBP) menguatkuasakan perintah sekatan ke atas sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan oleh anak syarikat Top Glove yang didakwa mempunyai kes buruh paksa di kilangnya.
Awal bulan ini, dilaporkan Top Glove telah mengemukakan laporan audit, yang disediakan oleh perunding bebas, kepada CBP AS.
BACA: Amerika Syarikat sekat produk Top Glove berhubung isu buruh paksa
BACA: Top Glove akan teruskan penghantaran ke AS
Laporan tersebut membabitkan temu bual maya dengan kira-kira 1,100 pekerja asing dan kakitangan tempatan di pelbagai lokasi.
Pengeluar sarung tangan itu tidak menjangkakan isu tersebut akan memberi kesan kepada hasil dan keuntungan kumpulan, disebabkan oleh permintaan yang kukuh dari negara lain, kata Pengarah Urusan Datuk Lee Kim Meow.
Syarikat secara aktif sedang berhubung dengan CBP AS bagi membatalkan perintah itu.
Jumlah bayaran pemulihan dianggarkan pada RM53 juta, tertakluk kepada keputusan akhir Perlindungan dan Kawalan Kastam AS.
"Kami telah membuat dua pembayaran pemulihan, yang pertama pada 10 Ogos dan satu lagi pada 10 Sept. CBP meminta kami menjalankan audit bebas dan kami telah melakukannya.
"Pada masa yang sama, kami telah mengemukakan laporan kepada mereka dan kami sentiasa terus berhubung dengan mereka," tambahnya lagi.
Sementara itu, Lee berkata permintaan untuk sarung tangan mungkin kekal mantap memandangkan vaksin COVID-19 memerlukan masa bagi pengeluaran.
"Sarung tangan akan kekal menjadi keperluan yang utama dalam kehidupan semua orang. Sekarang ini, topeng muka dan sarung tangan telah menjadi penggunaan terpenting di barisan hadapan sebagai alat perlindungan peribadi terhadap virus ini. Selepas COVID-19, saya tidak menjangkakan keadaan dan sikap orang ramai terhadap alat ini akan berubah," tambahnya.
#Amerika Syarikat #anak #AS #COVID-19 #kastam #koronavirus #Media #pekerja asing #Top Glove