Top Glove catat keuntungan besar, mungkin ambil alih dua ke tiga syarikat sarung tangan
Luqman Hariz
Januari 6, 2016 19:23 MYT
Januari 6, 2016 19:23 MYT
"Kami telah menyenarai pendekkan tiga syarikat di dalam sektor berkaitan getah," Tan Sri Lim - Foto Astro AWANI
Syarikat sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corporation Berhad dijangka akan mengambil alih dua atau tiga syarikat sarung tangan tempatan sebagai sebahagian dari inisiatif mengembangkan perniagaannya.
Lim berkata setakat ini, tiga syarikat berkaitan getah telah disenarai pendekkan.
“Kami telah menyenarai pendekkan tiga syarikat di dalam sektor berkaitan getah, dan kami menjangka untuk mengambil alih dua atau tiga menjelang akhir tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2016,” kata beliau.
Prestasi memberangsangkan suku pertama
Terdahulu, Top Glove dilaporkan mencatat keuntungan terbesar dalam sejarahnya bagi tempoh berkenaan.
Keuntungan selepas cukai syarikat dicatatkan pada RM128.9 juta, peningkatan sebanyak 163.1% tahun ke tahun dan 24.9% berbanding suku lalu.
Sementara Perolehan Sebelum Faedah, Cukai, Penyusutan dan Pelunasan (EBITDA) pula dicatat pada RM191.8 juta, peningkatan sebanyak 130.2% tahun ke tahun dan 18.7% berbanding suku lalu.
Pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu turut menyaksikan peningkatan jumlah penjualan kepada RM800.3 juta, yang merupakan peningkatan 41.0% tahun ke tahun serta 12.8% berbanding suku sebelumnya.
Lim berkata, syarikat itu turut positif akan terus mencatatkan pertumbuhan sekitar 10-15% pada masa akan datang menerusi pelbagai inisiatif pengembangan serta penggunaan sumber dan tenaga kerja dengan optimis.
Bagaimanapun pada masa yang sama, beliau berharap syarikatnya akan terus mendapat sokongan dari kerajaan bagi memastikan pertumbuhan pada masa hadapan.
Jika kami ingin lakukan yang terbaik di pasaran dunia, kami memerlukan sokongan kerajaan, dan kami juga perlu menyokong diri sendiri,” tegas Lim.
Cabaran kenaikan harga gas asli
Menyentuh mengenai kenaikan harga gas asli yang digunakan di dalam pembuatan sarung tangan, Lim berharap peningkatan inovasi dan keberkesanan pengeluaran dapat menampan peningkatan kos ini.
Ini termasuk membangunkan teknologi bagi memaksimumkan penggunaan mesin, mengurangkan pembaziran serta meningkatkan automasi pengeluaran.
“Dalam operasi harian, kami sentiasa berbincang mengenai cara terbaik untuk berjimat.
Kami perlu kurangkan kesilapan, kurangkan pembaziran, mengoptimumkan penggunaan dan meningkatkan automasi,” kata Lim.
Tambah beliau, inilah merupakan faktor yang dijangka dapat membantu syarikatnya mengekalkan margin keuntungan yang tinggi pada masa hadapan.