Tony pertahan cadangan jenama semula KLIA2 menjadi LCCT

Luqman Hariz
Jun 28, 2016 18:29 MYT
TONY: Kami melihat peluang di sini untuk mempromosi Malaysia sebagai hab penerbangan tambang murah Asia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes mempertahankan cadangannya untuk menjenamakan semula Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) kepada Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT).
Tony menambah, beliau akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Rabu bagi membincangkan isu tersebut dengan lebih lanjut.
Ini susulan pertikaian antara AirAsia dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berkenaan nama bersesuaian bagi lapangan terbang tersebut.
Walaupun mengiktiraf hak MAHB untuk menamakan lapangan terbang tersebut, Fernandes mempertahankan langkah AirAsia sebagai langkah pemasaran yang penting bagi mempromosi Malaysia sebagai hab penerbangan tambang rendah Asia.
“Kami tidak mempunyai hak untuk menukar nama terminal. Kami akan bertemu dengan Menteri Pengangkutan esok untuk berbincang.
“Hakikatnya, kami adalah sebuah syarikat pemasaran, kami melihat peluang di sini untuk mempromosi Malaysia sebagai hab penerbangan tambang murah Asia,” ujar beliau.
Tambah Tony, rakyat Singapura juga kini datang ke Malaysia untuk menyambung penerbangan ke destinasi-destinasi lain di Asi, dan perkembangan itu dianggap suatu yang ‘bersejarah’.
“Selama saya membesar, rakyat Malaysia terbang ke Singapura dan kemudian mengambil penerbangan lain. Apa kelebihan kami? Kos yang rendah. Jadi kami mahu mempromosi terminal KLIA2, yang kami ingin panggil LCCT, sebagai tempat untuk mendapatkan tambang murah.
Tegasnya, kejayaan mempromosi Malaysia sebagai hab penerbangan tambang rendah Asia dijangka akan melonjakkan sektor pelancongan sekali gus membantu ekonomi dan mencipta lebih banyak pekerjaan.
AirAsia dilaporkan telah menukar nama KLIA2 kepada LCCT/KLIA2 pada pas menaiki pesawatnya.
#AirAsia #hab penerbangan tambang murah #KLIA2 #LCCT #penerbangan tambang murah #tambang murah #Tony Fernandes
;