Tony Fernandes dilantik CEO airasia.com

Bernama
Ogos 16, 2019 05:30 MYT
Fernandes akan turut bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com dengan matlamat untuk melantik CEO baharu yang akan melaporkan perkembangan kepada beliau apabila tiba masanya. - Gambar fail
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia Group Bhd Tan Sri Tony Fernandes kini turut menggalas tugas sebagai CEO airasia.com, platform e-dagang pengembaraan dan gaya hidup syarikat penerbangan tambang rendah berkenaan.
Dalam satu kenyataan pada Jumaat, AirAsia menyifatkan langkah itu sebagai penyusunan semula kepimpinan bagi menyokong transformasi sebagai syarikat platform pengembaraan dan kewangan serta bagi membangunkan airasia.com sebagai jenama gaya hidup.
"Fernandes akan turut bertindak sebagai Ketua Pegawai Eksekutif airasia.com dengan matlamat untuk melantik CEO baharu yang akan melaporkan perkembangan kepada beliau apabila tiba masanya," katanya.
Turut menyertai Fernandes adalah Ketua Pegawai Komersial (CCO) kumpulan itu, Karen Chan yang bertanggungjawab menggerakkan semua peranan komersial dan berperanan sebagai CCO airasia.com serta Spencer Lee yang menggalas peranan Ketua Pegawai Operasi airasia.com dengan menguruskan portfolio perniagaan dalam talian termasuk OURSHOP, AirAsia WiFi (ROKKI), perkongsian hotel dan lain-lain, katanya.
"Seorang ketua pegawai produk untuk airasia.com juga akan dilantik untuk mengetuai pasukan produk manakala Ketua Pegawai Kejuruteraan dan Teknologi Perisian (AASET) AirAsia, Elias Vafiadis akan terus memimpin bahagian itu dan melaporkan kepada Fernandes dalam tempoh interim itu," katanya.
BACA: Jadikan Malaysia hab aeroangkasa - Tun Mahathir
Selain itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (syarikat penerbangan) AirAsia Bo Lingam telah dilantik Presiden kumpulan (syarikat penerbangan) dan turut mengetuai AirAsia SEA (sebelum ini dikenali sebagai AirAsia Global Shared Services) iaitu pusat perkhidmatan bersama korporat dan sokongan kepada AirAsia, kata kenyataan itu.
"Beliau akan terus menjalankan perniagaan teras syarikat dan memacu penambahbaikan perkhidmatan pelanggan dan kecekapan kos menerusi pendigitalan dan inisiatif One AirAsia."
BACA: Tidak adil kenakan cukai sama bagi perkhidmatan berbeza - Tun Mahathir
Dalam pada itu, Aireen Omar pula dilantik sebagai Presiden kumpulan (RedBeat Ventures) dan akan mengetuai cabang modal teroka korporat.
"Menerusi peranan itu, beliau akan meninjau syarikat dan teknologi baharu untuk melonjakkan perniagaan teras AirAsia dan pada masa sama terus memantau perniagaan digital syarikat seperti BigPay, Teleport dan AirAsia BIG Loyalty," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
#AirAsia #airasia com #Bo Lingam #CEO #CEO baharu #E-dagang #jenama gaya hidup #Karen Chan #ketua pegawai produk #One AirAsia #penambahbaikan perkhidmatan pelanggan #syarikat penerbangan #syarikat platform pengembaraan #tempoh interim #Tony Fernandes #transformasi
;