Tokoh penting pemasaran dunia berhimpun di WMS2013
Astro Awani
September 28, 2013 13:59 MYT
September 28, 2013 13:59 MYT
Tokoh-tokoh penting pemasaran dunia berhimpun di Sidang Kemuncak Pemasaran Sedunia 2013 (WMS 2013) di Putrajaya International Convention Center (PICC) bermula hari ini.
Pengasasnya, Professor Dr. Philip Kotler walaubagaimanapun tidak dapat hadir bersama persidangan tersebut.
Isteri tokoh guru pemasaran terkemuka itu dikatakan sedang menjalani pembedahan pinggul dan beliau melihat keperluan untuk berada di sisi isterinya bagi memberikan sokongan.
Namun, beliau sempat merakamkan sebuah video ucapan yang dimainkan pada pembukaan persidangan WMS 2013.
Antara perkara yang diketengahkan beliau, persidangan ini dikatakan berbeza daripada persidangan lain yang diadakan kerana ia tertumpu di kawasan Asia dan yang paling penting, ia memberi perhatian kepada isu-isu sosial yang dihadapi di rantau ini dan juga bagaimana pemasaran boleh digunakan dalam menyelesaikan masalah tersebut.
Sementara itu, Pengasas Hari CSR Sedunia, Dr R. L. Bhatia mengetengahkan tema ‘Purpose before benefit’ di mana menurut beliau proses pemasaran yang dilakukan perlu mengikut etika dan mementingkan tujuan sebenarnya sebelum melihat kepada keuntungan.
“Perkara ini akan menjadi berterusan sekiranya ia diamalkan lebih daripada tiga kali. Selepas itu ia akan menjadi satu tabiat dan sekiranya diteruskan, ia akan sebati dengan perwatakan seseorang itu,” kata Dr Bhatia.
Antara tumpuan lain pada persidangan tersebut adalah, perbincangan mengenai Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) pertama dan kedua yang disasarkan oleh pihak Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dimana ia menyentuh soal masalah kemiskinan, kebuluran dan hal-hal pendidikan.