TNG Digital amalkan akauntabiliti kendiri, komited patuh standard BNM
Bernama
September 4, 2023 19:37 MYT
September 4, 2023 19:37 MYT
KUALA LUMPUR: TNG Digital Sdn Bhd (TNGD), pemilik dan pengendali perkhidmatan dompet elektronik eWallet Touch 'n Go, komited sepenuhnya untuk mematuhi standard yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
Ketua Pegawai Eksekutif Alan Ni berkata TNGD akan terus bekerjasama dengan BNM, mematuhi protokol serta mengamalkan akauntabiliti kendiri pada tahap tertinggi.
"Sebagai menyokong pengumuman oleh BNM baru-baru ini, TNGD menjadikan kesemua kes-kes ini sebagai contoh utama pematuhan kami yang kukuh terhadap peraturan serta dasar BNM.
"Sejajar dengan menjadikan pengguna sebagai keutamaan kami, kumpulan berharap untuk memperkukuh keyakinan mereka terhadap pematuhan oleh platform kami," katanya dalam kenyataan, pada Isnin.
Dalam kenyataan pada Jumaat lepas, BNM berkata ia telah mengenakan Penalti Monetari Pentadbiran (AMP) sebanyak RM600,000 ke atas TNGD pada 18 Mei, 2023, kerana menyalahi Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA) dan berkaitan dengan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2014 (AMLA).
TNGD secara sukarela telah melaporkan kepada BNM bahawa ia dalam dua masa berasingan, telah menerima dua individu yang dikenakan tindakan di bawah akta berkenaan.
Menurut BNM, tindakan itu adalah menyalahi akta berkaitan kerana TNGD didapati gagal untuk membuat saringan ke atas nama para pelanggan dan tidak membuat pengesahan serta siasatan lanjut untuk menentukan sama ada pelanggannya adalah sepadan dengan senarai resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) atau senarai Kementerian Dalam Negeri.
Selain TNGD, bank pusat itu turut mengenakan AMP ke atas dua syarikat lain iaitu MPI Generali Insurans Bhd (MPGB) dan Mandiri International Sdn Bhd (MISB).
Sehubungan itu, sejajar dengan kerjasama dengan BNM membabitkan langkah pematuhan, TNGD secara proaktif telah tampil membawa hasil penemuannya sendiri dalam tempoh tinjauan pematuhan berkala tersebut.
Kumpulan itu berkata walaupun kesalahan itu berlaku lebih daripada tiga tahun lepas dan jumlah transaksi mereka di atas platform TNGD adalah minimum, ia masih menganggap kesalahan tersebut sebagai amat serius dan segera melaporkannya.
-- BERNAMA