TNB sasar sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050
Dagang News
Ogos 26, 2021 05:36 MYT
Ogos 26, 2021 05:36 MYT
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengumumkan hala tuju kelestariannya dengan aspirasi untuk mencapai pelepasan sifar bersih (net zero emissions) menjelang 2050, sebagai langkah ke arah dekarbonisasi dan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, hala tuju baharu ini adalah terjemahan jelas matlamat kelestarian TNB yang bermula pada 2016 dengan pelancaran pelan strategik Reimagining TNB.
“Komitmen hari ini memberi pemahaman yang lebih jelas terhadap hala tuju kelestarian TNB untuk tempoh 30 tahun akan datang.
“Menjelang ke arah komitmen 2035, kami akan terus menambah baik kecekapan loji termal sedia ada kami dan meningkatkan portfolio penjanaan tenaga boleh diperbaharui kami.
“Sasaran kami adalah untuk mencapai 8,300MW RE menjelang 2025,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Baharin mendedahkan hala tuju kelestarian TNB serentak dengan pengumuman separuh pertama tahun kewangan 2021 (1HFY21) semalam.
Di bawah hala tuju kelestarian itu, sasaran tersebut dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus serta pengurangan 50 peratus kapasiti penjanaan arang batu menjelang 2035.
Selain itu, TNB komited untuk memastikan pendapatan daripada loji penjanaan arang batu tidak melebihi 25 peratus daripada keseluruhan pendapatannya.
Awal tahun ini, syarikat telah menyatakan komitmennya untuk tidak lagi melabur dalam pembinaan loji arang batu di atas tapak baharu (greenfield) selepas Jimah East Power yang mula beroperasi pada 2019, manakala loji-loji sedia ada akan diberhenti tugas apabila perjanjian pembelian tenaga (PPA) tamat.
Bagi prestasi kewangan pada 1HFY21, TNB melaporkan pemulihan berperingkat di sebalik situasi pandemik COVID-19 semasa.
Kumpulan mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) bernilai RM1,823.5 juta, meningkat daripada RM1,412.7 juta pada tempoh sama tahun lalu, tetapi masih lebih rendah berbanding PAT 1HFY19 sebelum pandemik iaitu RM2,651.3 juta.
Jualan elektrik meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 59,304 GWh berbanding tempoh yang sama tahun lalu, berikutan perkembangan aktiviti ekonomi.
Margin pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kekal pada 40.6 peratus dalam tempoh sama berikutan peningkatan dalam pendapatan yang menyederhana disebabkan perbelanjaan lebih tinggi sebanyak RM507.2 juta, di mana sebahagian besarnya adalah disebabkan kos bukan penjanaan dan peruntukkan lebih tinggi untuk hutang ragu sebanyak RM326.6 juta bagi tempoh itu.
“Pemulihan secara berperingkat dilihat pada EBITDA dan PAT sebahagian besarnya berikutan pendapatan elektrik kumpulan yang lebih tinggi disebabkan pembukaan semula perniagaan tahun ini, berbanding dengan sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang dikuatkuasa pada tahun lalu dan rebat ICPT yang lebih rendah bagi tempoh itu.
“Prestasi anak-anak syarikat kami juga semakin meningkat oleh kerana lebih banyak perniagaan dibenarkan untuk beroperasi,” kata Baharin.
Meskipun dalam persekitaran yang mencabar, TNB terus menepati polisi dividennya dengan memberi pemegang saham bayaran dividen interim sebanyak RM1.26 bilion, bersamaan dividen sesaham sebanyak 22 sen.
Artikel asal disiarkan di DagangNews.