TNB Renewables intai prospek bangun ladang solar di permukaan air
Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 19, 2023 19:24 MYT
Februari 19, 2023 19:24 MYT
SUNGAI PETANI: Tenaga Nasional Berhad (TNB) melalui anak syarikatnya, TNB Renewables Sdn.Bhd (Tre) dalam proses mengenal pasti prospek untuk membangunkan teknologi ladang solar terapung di permukaan air.
Ia bagi menampung serta meningkatkan keupayaan bekalan tenaga boleh diperbaharui (RE) pada masa akan datang.
Menurut Pengarah Urusan Tre, Mohd Yusrizal Mohd Yusof, ketika ini pihaknya masih membuat penilaian untuk melihat prospek kepenggunaannya secara serius dari pelbagai aspek.
“Penggunaan panel solar terapung (floating solar) di atas air perlu mengambil kira keluasan kawasan yang kita akan gunakan dan sebolehnya berdasarkan maklumat sedia ada kita tidak akan gunakan keseluruhan kawasan tersebut.
“Kajian-kajian yang telah kita laksanakan, kita melihat kepada penggunaan maksimum sekitar 10 peratus hingga 15 peratus dari segi keluasannya,” katanya ketika sesi lawatan bersama media ke Projek Solar Berskala Besar (LSS) di Bukit Selambau, Kedah baru-baru ini.
Bagaimanapun katanya lagi, kos untuk membangunkan ladang tenaga solar secara terapung agak tinggi jika dibandingkan dengan yang sedia ada atau konvensional ketika ini.
Pihaknya ketika ini mengambil kira semua faktor sebelum merealisasikan pembangunannya yang mungkin akan mengambil sedikit masa.
Penjanaan tenaga solar di atas permukaan air juga katanya memiliki kelebihan yang tersendiri berbanding di atas tanah kerana ia mampu menyejukkan panel solar yang dibina.
“Kami merasakan bahawa kami berada di hadapan dalam perancangan pembangunan itu kerana TNB menerusi TNB Research sudah menjalankan beberapa kajian terhadap kawasan air tenang seperti tasik dan kolam serta di permukaan air berombak bagi mendapatkan idea terbaik.
“Kami juga memiliki data dan pengalaman yang akan membantu kami untuk menjayakan perkara ini pada masa akan datang," katanya lagi.
Beliau berkata, Tre tidak meletakkan sasaran secara khusus bila ia akan dilaksanakan sepenuhnya, namun dengan perkembangan tenaga boleh diperbaharui yang rancak ketika ini ia tidak mustahil akan dicapai dalam masa terdekat.
“Dari sudut pembangunan yang dibuat sebenarnya sudah ada satu atau dua (solar terapung), cuma kita sedang menunggu masa yang sesuai untuk melaksanakanya," jelasnya.
Beliau berkata, pembinaan ladang solar terapung juga akan mengambil kira dari sudut ekologi agar perlaksanaanya nanti tidak akan menjejaskan atau memberi impak negatif terhadap ekosistem sekitarnya.