TNB catat pendapatan lebih rendah bagi tahun kewangan 2022 dengan kos kewangan, cukai lebih tinggi
Bernama
Februari 27, 2023 19:33 MYT
Februari 27, 2023 19:33 MYT
KUALA LUMPUR: Untung bersih Tenaga Nasional Bhd (TNB) pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022 (FY2022) susut 5.4 peratus kepada RM3.46 bilion daripada RM3.66 bilion pada tahun sebelumnya.
Syarikat utiliti elektrik itu berkata, walaupun keuntungan operasi adalah 16.5 peratus lebih tinggi, tetapi pendapatan lebih rendah disebabkan oleh kos kewangan dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi, termasuk cukai tambahan dalam bentuk Cukai Makmur berjumlah RM340.8 juta untuk tahun tersebut.
Hasil untuk FY2022 bagaimanapun, meningkat kepada RM50.87 bilion daripada RM48.12 bilion, terutamanya disebabkan jualan elektrik yang 5.6 peratus lebih tinggi iaitu sebanyak RM2.65 bilion di tengah-tengah pertumbuhan permintaan sebanyak 5.2 peratus, kata TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
TNB berkata, Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) berada pada kedudukan yang kurang pulih lebih tinggi iaitu RM22.32 bilion daripada RM4.51 bilion pada tahun yang sama sebelumnya, terutama disebabkan oleh harga bahan api yang lebih tinggi.
Ia menyatakan perbelanjaan operasinya meningkat kepada RM64.61 bilion daripada RM44.52 bilion, naik 45.1 peratus, terutamanya disebabkan oleh kos penjanaan yang lebih tinggi.
Sementara itu, kerugian bersih rosot nilai instrumen kewangan berkurangan sebanyak RM838.8 juta atau 89.2 peratus apabila trend kutipan bertambah baik pada tahun semasa.
"Ini telah menghasilkan keuntungan operasi yang lebih tinggi sebanyak RM9.41 bilion, meningkat RM1.33 bilion, atau 16.4 peratus dari tempoh yang sama tahun lalu," tambah TNB.
Bagi tahun kewangan 2022, lembaga pengarah TNB telah meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 26.0 sen bagi setiap saham biasa, berjumlah kira-kira RM1.495 bilion.
Melangkah ke hadapan, TNB berkata, kumpulan itu menjangkakan prestasi yang munasabah untuk 2023 dan akan terus berhati-hati terhadap cabaran mendatang termasuk harga bahan api yang tinggi dan inflasi.
"Sementara kumpulan meneruskan strategi pertumbuhannya, ia akan terus mengambil langkah berhemat dari segi keperluan operasi dan kewangannya bagi memastikan ia kekal berdaya tahan," tambahnya. - BERNAMA