TNB berada di landasan tepat kembangkan portfolio RE - Penganalisis

Dagang News
Oktober 22, 2021 09:00 MYT
TNB menyasarkan untuk mencapai aset RE sebanyak 8,300MW menjelang 2025 berbanding 3,406MW ketika ini. -Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) berada dalam kedudukan yang kukuh untuk merealisasikan hasratnya dalam mengembangkan portfolio aset tenaga diperbaharui (RE) menjelang 2025.
Ini berikutan pengambilalihan 49% pegangan dalam syarikat ladang angin luar pesisir, Blyth Offshore Demonstrator Limited (BODL) daripada EDF Renewables (EDFR), sebuah subsidiari syarikat utiliti Perancis, Électricité de France (EDF).
Pemerolehan ini menandakan penyertaan sulung TNB dalam pasaran ladang angin luar pesisir berikutan pemilikan aset angin BODL di perairan Blyth, Northumberland, England.
Meskipun ia hanya melibatkan pelaburan yang kecil, tetapi penganalisis Kenanga Research, Teh Kian Yeong berpendapat ia mampu membuka langkah buat TNB untuk mengembangkan portfolio RE terutama di United Kingdom (UK) dan Eropah.
Ketika ini, katanya, TNB mempunyai 2 aset RE di UK, diusahakan oleh Vortex Solar dan TNB Wind Ventures, yang mana kedua-duanya kini distrukturkan di bawah Vantage RE yang ditubuhkan pada Julai tahun ini.
"Dengan pengambilalihan ladang angin ini, TNB akan mengendalikan hampir 450 megawatt (MW) pelaburan RE di UK.
"Bagi kami ini adalah permulaan kerjasama yang baik dengan EDFR walaupun hanya melibatkan pemasangan kapasiti 49MW apabila projek terapung ini siap, sekali gus mempercepatkan usaha pengembangan TNB di UK dan Eropah, dengan sasaran untuk mencapai 2,733MW menjelang 2025," katanya dalam nota kajian hari ini.
Kian Yeong juga berkata, pengambilalihan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan tekanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang banyak mempengaruhi harga sahamnya sejak 2 tahun lalu.
TNB menyasarkan untuk mencapai aset RE sebanyak 8,300MW menjelang 2025 berbanding 3,406MW ketika ini.
Perolehan daripada RE pula dijangka menyumbang 10% kepada kumpulan berbanding ketika ini, 5%.
Walaupun TNB tidak mendedahkan nilai pengambilalihan dalam BODL, tetapi kumpulan telah memperuntukkan sebanyak RM6.5 bilion bagi keseluruhan pengembangan kapasiti RE yang mana lebih 97% tertumpu di 2 kawasan geografi utama iaitu, 2,733MW di UK dan Eropah manakala 1,800MW di Asia Tenggara. TNB hanya memperuntukkan 361MW pengembangan kapasiti RE di peringkat domestik.
Ujian tekanan yang dijalankan Kenanga Research mendapati TNB tidak mempunyai sebarang masalah kewangan untuk melaksanakan pengembangan RE dengan gearannya berada pada paras selesa sekitar 45 hingga 46% sepanjang tahun kewangan 2022-2025.
Ini membolehkan firma itu, mengulangi saranan 'outperform' ke atas saham TNB dengan harga sasaran pada RM11.80 berikutan kedudukan kewangannya yang kukuh.
Sementara itu, penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, pengambilalihan BODL ini menandakan penyertaan sulung TNB dalam ladang angin luar pesisir menerusi pilihan pelaburan berisiko lebih rendah berdasarkan kematangan dan aset yang disokong Perakuan Kewajipan Boleh Diperbaharui (ROC).
Secara dasarnya, ROC merupakan salah satu mekanisme sokongan bagi projek RE berskala besar di UK. Pensijilan ROC dikeluarkan kepada operator yang mengendalikan akreditasi kemudahan penjanaan RE kepada yang layak.
Menurut beliau, walaupun tiada perincian terhadap nilai pengambilalihan ini dinyatakan, tetapi ia mendapati kos pemasangan penjanaan angin luar pesisir bagi greenfield telah menurun 28% sejak 4 tahun lalu dan kekal pada AS$3.9 juta/MW pada 2019.
"Namun, kami mendapati Blyth 1 adalah aset matang yang telah beroperasi selama 4 tahun dan disokong oleh ROC, justeru, kami berpendapat, ia mungkin premium," katanya.
TNB baru-baru ini menyatakan komitmennya untuk mengurangkan pelepasan karbon sebanyak 35% dan 50% kapasiti batu arang menjelang 2035 termasuk aspirasi untuk mencapai sifar pelepasan karbon dan bebas batu arang menjelang 2025.
"Ini sepatutnya menyediakan hala tuju yang jelas buat agenda kelestarian TNB, sekali gus mengurangkan kebimbangan ESG terhadap harga sahamnya," jelas beliau.
Firma itu mengekalkan saranan 'beli' ke atas TNB dengan harga sasaran pada RM11.80 sesaham.
Setakat 9.56 pagi, saham TNB menokok 6 sen atau 0.61% kepada RM9.82 dengan 456,200 saham diniagakan.
*Berita asal di DagangNews.com
#TNB #tenaga diperbaharui #EDF Renewables #Blyth Offshore Demonstrator Limited
;