TN50 peta hala tuju negara menuju 2050 - Ahmad Zahid

Bernama
November 25, 2016 15:50 MYT
Ahmad Zahid berkata TN50 akan mengambil kira pandangan dan idea daripada semua pihak berkepentingan supaya produk yang dihasilkan memenuhi cita rasa mereka sendiri. - Gambar fail
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang digagaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.
"Selepas menyelesaikan seluruh agenda Wawasan 2020, kita akan melangkah untuk melihat apakah rupa bentuk bangsa kita, negara kita, sistem ekonomi kita, produk-produk serta sesuatu yang baik yang akan dilakukan untuk 30 tahun akan datang.
"Dan ketika itu, UMNO akan berusia 103 tahun apabila kita mencapai 2050, tentunya terlalu banyak produk baharu yang diharapkan oleh generasi akan datang," kata timbalan perdana menteri dalam temu bual dengan Bernama menerusi program Ruang Bicara Khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 yang akan disiarkan saluran televisyen Bernama News Channel (BNC) malam esok (26 Nov).
Najib semasa membentangkan Bajet 2017 di Dewan Rakyat pada 21 Okt lepas, mengumumkan bahawa kerajaan akan menggerakkan siri wacana nasional ke arah membentuk TN50.
Perdana menteri ketika itu berkata TN50 akan dimula-gerakkan dengan generasi muda pelbagai bangsa melalui wacana-wacana nasional seperti yang diputuskan oleh Kabinet dan akan dikendalikan oleh Kementerian Belia dan Sukan.
Ahmad Zahid selaku Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden parti itu, berkata TN50 akan mengambil kira pandangan dan idea daripada semua pihak berkepentingan supaya produk yang dihasilkan memenuhi cita rasa mereka sendiri.
"Jangan tinggalkan satu kumpulan pun supaya mereka akan merasakan TN50 adalah sebahagian daripada mereka dan produk yang mereka lontarkan supaya ia menjadi satu dasar yang diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan," katanya.
Timbalan perdana menteri turut menegaskan bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) komited untuk merealisasikan sasaran Wawasan 2020, yang kini berbaki tiga tahun lagi.
Katanya Wawasan 2020 sebagai agenda negara itu akan terus dilaksanakan meskipun pengasasnya kini tidak lagi berada dalam parti pemerintah.
"Saya berpendapat bahawa kita harus membezakan adakah itu wawasan peribadi seseorang atau pun negara.
"Kita komited untuk melaksanakannya sebagai wawasan negara biarpun orang itu berada di luar gelanggang," katanya.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Malaysia dijangka mampu mencapai sasaran yang ditetapkan dalam wawasan itu terutama menjadi sebuah negara maju mengikut acuan sendiri.
"Insya-Allah kita akan mencapai keadaan itu dengan pendapatan per kapita sebagaimana yang pernah diunjurkan untuk dicapai walaupun kita mempunyai kekangan untuk mencapai GDP atau Keluaran Dalam Negara Kasar pada purata lapan peratus dengan kekangan faktor-faktor luar dunia," katanya. - BERNAMA
#Ahmad Zahid Hamidi #Najib Razak #Perhimpunan Agung UMNO 2016 #Transformasi Nasional 2050
;