'TMI tidak untung, kami rugi RM10 juta' - Kumpulan Media The Edge
Astro Awani
Mac 14, 2016 14:34 MYT
Mac 14, 2016 14:34 MYT
Walaupun tersenarai dalam tiga portal berita paling tinggi dilawati di Malaysia, The Malaysian Insider (TMI) sebenarnya sukar untuk melepasi garis keuntungan.
Kumpulan Media The Edge selama ini menanggung kerugian kira-kitra RM10 juta sejak ia membeli pemilikan TMI pada Jun 2014.
Di bawah ini merupakan kenyataan penuh pengarah kumpulan, Ho Kay Tat, yang menjelaskan mengenai pemberhentian operasi portal tersebut:
"Adalah dengan dukacita dimaklumkan, Kumpulan Media The Edge mengumumkan bahawa kami telah mengambil keputusan untuk menghentikan operasi portal berita The Malaysian Insider (TMI) berkuatkuasa serta-merta.
Walaupun hakikatnya TMI merupakan salah satu daripada tiga portal berita yang paling tinggi menerima kunjungan trafik di Malaysia kerana laporan berita yang berani, ia tidak menerima sokongan komersial yang cukup untuk terus beroperasi.
Kumpulan Media The Edge telah mengalami kerugian kira-kira RM10 juta dalam tempoh 20 bulan sejak kami mengambil alih pemilikan TMI pada Jun 2014 dan kami tidak lagi dalam situasi yang membolehkan ia diteruskan.
Dalam tempoh dua bulan kebelakangan ini, kami telah didatangi oleh tiga pihak luar (kesemuanya memiliki perniagaan media) yang berminat untuk mengambil alih TMI, setelah kami mengumumkan hasrat untuk melepaskannya sebagai usaha penstrukturan semula Kumpulan Media The Edge.
Terdapat juga tawaran pembelian pengurusan (management buy-out - MBO).
Namun malangnya, kami tidak menemui persetujuan dengan mana-mana pihak luar itu termasuk MBO. Kami percaya masalah terkini yang dihadapi TMI dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah menambahkan kesulitan untuk memuktamadkan urusan penjualan yang telah berlangsung sebelum itu.
Kami akan melepaskan kesemua 59 pekerja TMI dan mereka akan menerima pakej pemisahan seperti yang ditetapkan dalam undang-undang.
Penutupan TMI harus menjadi peringatan indistri media dan khalayak umum amnya, bahawa kewartawanan yang baik tidak boleh diteruskan tanpa sokongan komersial. Dan apabila kewartawanan baik terhenti, masyarakatlah yang rugi."
Ho Kay Tat
Terdahulu, berita mengenai TMI yang bakal menghentikan operasi bermula tengah malam ini telah dilaporkan.
Pengumuman itu telah dibuat oleh pengarangnya, Jahabar Sadiq, melalui kenyataan yang disiarkan di portal berita berkenaan.