TM untung bersih RM1.87 bilion pada 2023, melonjak 63.6 peratus
Israr Khalid
Februari 24, 2024 10:45 MYT
Februari 24, 2024 10:45 MYT
KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Berhad (TM) mencatat keuntungan bersih selepas cukai RM1.87 bilion pada tahun kewangan 2023, melonjak 63.6 peratus daripada RM1.14 bilion pada tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan komunikasi itu mencatat peningkatan kepada RM12.26 bilion tahun lalu berbanding RM12.1 pada tahun sebelumnya, didorong prestasi kukuh Unifi dan TM Global dalam suasana kos kewangan bersih dan kesan cukai yang lebih rendah.
Langganan jalur lebar Unifi mencatat pertumbuhan 3.1 peratus kepada 3.13 juta, manakala hasil TM Global meningkat ekoran permintaan tinggi untuk perkhidmatan data domestik dan antarabangsa.
Perbelanjaan Modal (CAPEX) adalah RM1.9 bilion atau 15.9 peratus daripada keseluruhan hasil, yang dilaburkan khusus untuk meluaskan infrastruktur rangkaian seluruh negara serta sistem kabel dasar laut serantau.
Pada masa sama TM turut mengumumkan dividen interim kedua dan dividen akhir sebanyak 15.5 sen seunit berjumlah kira-kira RM594.9 juta, menunjukkan komitmennya dalam memberikan nilai kepada para pemegang saham.
Kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, TM telah mengekalkan prestasi biarpun berhadapan landskap kawal selia yang mencabar, persaingan sengit, serta dinamik pasaran yang berkembang.
“Penyelesaian dan pakej-pakej menarik konvergens kami terus menawan para pelanggan sekaligus mengukuhkan posisi TM sebagai satu-satunya Konvergens Mudah Alih- Tetap dengan quad-play di Malaysia.
“Perluasan berterusan liputan optik di seluruh negara serta penambahbaikan infrastruktur data dan rangkaian, turut menyumbang kepada pertumbuhan.
“Kami kekal komited untuk menggalakkan keterangkuman dan penerimaan digital dengan lebih meluas, selain menangani keperluan para pelanggan sama ada domestik ataupun antarabangsa.”
Beliau turut memaklumkan bahawa tahun 2023 menandakan TM telah selesai tiga tahun fasa transformasi permulaan, di mana mereka mengukuhkan lagi kedudukan dalam landskap telekomunikasi tempatan dan global.
Ujarnya lagi, kini mereka memberikan tumpuan untuk menjadi kuasa besar digital menjelang 2023 selain meletakkan Malaysia sebagai hab digital serantau, sejajar aspirasi negara untuk menjadi komuniti digital bersepadu sepenuhnya dan memastikan peranan utama dapat terus dimainkan dalam era inovasi digital.