TM sertai konsortium bina sistem kabel bawah laut merentas benua
Bernama
Februari 21, 2022 19:51 MYT
Februari 21, 2022 19:51 MYT
KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) telah menyertai konsortium untuk bina sistem kabel bawah laut Asia Tenggara-Timur Tengah-Eropah Barat 6 (SEA-ME-WE 6) yang akan menghubungkan Malaysia dengan beberapa negara lain.
TM dalam satu kenyataan hari ini berkata sistem kabel bawah laut itu akan menghubungkan Malaysia dengan pelbagai negara seperti Singapura, Bangladesh, India, Sri Lanka, Maldives, Pakistan, Oman, Djibouti, Arab Saudi, Mesir dan Perancis.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Imri Mokhtar berkata pelaburan TM dalam SEA-ME-WE 6 akan membolehkan syarikat itu menangani keperluan kapasiti bagi menampung permintaan digital yang semakin meningkat di seluruh Asia dan Eropah sambil terus menyediakan penyelesaian sambungan global yang boleh dipercayai.
"Ia juga akan membolehkan TM untuk menyokong penggunaan pusat data "Hyperscalers" termasuk keperluan masa depan rangkaian 5G di negara ini."
"Kabel bawah laut ini akan disambungkan ke stesen pendaratan kabel TM yang baharu di Morib, tambahan terkini kepada empat stesen pendaratan kabel antarabangsa TM di negara ini," katanya.
Imri juga berkata jarak kabel itu yang agak strategik ke Lembah Klang, yang berdekatan dengan kebanyakan pusat data Hyperscalers, menjadikan Morib sebagai tapak pendaratan kabel utama untuk Malaysia.
Penyertaan TM dalam konsortium itu dirasmikan melalui pemeteraian perjanjian pembinaan dan penyelenggaraan dengan semua ahli konsortium baru-baru ini.
SEA-ME-WE 6 akan menyediakan TM dengan salah satu laluan latensi terendah antara Malaysia dan Eropah selain mewujudkan lapisan tambahan kepelbagaian rangkaian dan daya tahan untuk trafik yang sibuk Asia dan Eropah.
"Dengan kecanggihan teknologinya, konsep sistem kabel terbuka dan kapasiti reka bentuk lebih daripada 100 terabait sesaat, pelaburan terbaru ini pasti akan memberikan anggota konsortium dengan kawalan lengkap ke atas pengurusan trafik mereka," kata Imri lagi.
Selain TM, konsortium SEA-ME-WE 6 merangkumi peneraju-peneraju global seperti Bangladesh Submarine Cable Company Ltd, Bharti Airtel Ltd, Dhivehi Raajjeyge Gulhun Plc, Djibouti Telecom SA, Etihad Etisalat Company, Orange, PT Telekomunikasi Indonesia International, Singapore Telecommunications Ltd , Sri Lanka Telecom PLC, Telecom Egypt dan Trans World Associates.
-- BERNAMA