TM One LEAP Summit 2022 komited pacu inovasi, transformasi dengan teknologi 5G
Eton Khir
Oktober 26, 2022 21:27 MYT
Oktober 26, 2022 21:27 MYT
KUALA LUMPUR: TM One cabang perniagaan perusahaan dan sektor awam Kumpulan Telekom Malaysia (TM) terus memacu inovasi dan transformasi perusahaan generasi akan datang ke peringkat global dengan menganjurkan LEAP Summit 2022.
Naib Presiden Eksekutifnya, Shazurawati Abd Karim berkata tema ‘Enabling Your Next, Innovate and Transform’ itu bertepatan dengan situasi semasa fasa pemulihan ekonomi negara susulan pandemik COVID-19.
Jelasnya, LEAP Summit edisi kelima yang kembali diadakan secara fizikal itu turut menghimpunkan tokoh-tokoh industri antarabangsa dan tempatan bagi membantu pemain industri menyerlahkan potensi inovasi mereka ke tahap lebih tinggi.
“Bezanya, LEAP Summit 2021 mengetengahkan teknologi berteraskan insan atau ‘Human-Centered Technology’ yang sangat penting apabila kita ingin melaksanakan inovasi baharu.”
“Manakala LEAP Summit 2022 pula, kami ingin memfokuskan kepada transformasi dunia digital termasuk berkaitan informasi data analitik, kecerdasan buatan (AI), perkongsian dan ekosistem untuk membolehkan perniagaan bersedia untuk berdaya saing, pada hari ini dan masa hadapan.”
“Dengan cabaran sama yang dihadapi oleh organisasi-organisasi untuk memulakan mahupun memperluaskan perjalanan inovasi dan transformasi mereka, kami menghubungkan mereka kepada para pemimpin bertaraf dunia bagi membuka idea-idea dan kemungkinan-kemungkinan baharu yang boleh dilaksanakan,” beliau berkata demikian kepada Astro AWANI di LEAP Summit 2022 baru-baru ini.
Sementara itu, Shazurawati berkata persidangan tersebut turut menyaksikan pengumuman program TM One 5G Sphere, satu program kerjasama rakan-rakan teknologi dan penyelesaian pintar bagi mewujudkan sebuah ekosistem 5G, dan juga pelancaran 'Penyelesaian 5G TM One' ataupun 'TM One 5G Solution' iaitu himpunan solusi yang dapat mempercepatkan penyelesaian inovatif 5G bagi perusahaan dan sektor kerajaan.
“Ini termasuk memperkasa teknologi-teknologi terhubung untuk meningkatkan prestasi dan pengalaman pelanggan, pengesanan masa nyata, analisis dan tindakan segera untuk kecekapan, serta meningkatkan keselamatan sambil mengurangkan tempoh gangguan menerusi penyelesaian-penyelesaian pintar.
“TM One 5G Sphere ini, memberi peluang kepada perusahaan untuk melonjakkan transformasi mereka menerusi kajian kes dan bukti konsep sebenar yang menangani cabaran-cabaran perniagaan yang unik,” katanya.
Pada masa sama, Shazurawati berkata pameran aplikasi-aplikasi dikuasakan teknologi 5G turut diketengahkan bagi memperkembangkan pertumbuhan digital termasuk penjagaan kesihatan pintar, industri pintar dan bandar pintar serta beberapa penyelesaian dan perkhidmatan digital lain, yang kini tersedia untuk dilanggani oleh perusahaan dan sektor awam.
Tambahnya, transformasi inovasi pintar fasa seterusnya merupakan antara peluang dipacu teknologi 5G dengan keupayaan seperti pemantauan video, logistik, pengurusan fleet, dan rangkaian 5G persendirian yang menguasakan pembuatan, pengangkutan, kilang-kilang, kampus-kampus yang semakin hampir tersedia.
“Melangkah ke hadapan, penyelesaian perniagaan 5G yang terbaik akan muncul daripada kolaborasi dan kerjasama pintar antara para peneraju industri, mempercepat fasa penerimaan teknologi yang berikutnya oleh industri dan negara secara keseluruhan, serta menjayakan aspirasi kami ke arah digital Malaysia,” katanya.
*Artikel ini adalah kandungan berbayar