Tindakan secara kolektif diperlukan untuk lindungi ringgit - Bank Negara

Bernama
Mac 20, 2024 18:48 MYT
Abdul Rasheed berkata bank pusat komited untuk memainkan peranannya dalam usaha mengekalkan keyakinan terhadap ringgit. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Tindakan secara kolektif amat diperlukan untuk melindungi mata wang ringgit, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Gabenor BNM Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata bank pusat komited untuk memainkan peranannya dalam usaha mengekalkan keyakinan terhadap matawang tempatan ini.
"Bagi mencapai tujuan ini, BNM telah bekerjasama dengan kerajaan untuk meningkatkan aliran masuk yang akan membolehkan nilai ringgit mencerminkan asas dan prospek ekonomi Malaysia dengan sewajarnya.
"Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah digalakkan untuk membawa balik pendapatan pelaburan asing dan menukarkannya kepada ringgit secara konsisten," katanya dalam prakata dalam Laporan Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023 yang dikeluarkan hari ini.
Abdul Rasheed berkata BNM telah mempertingkat libat urus dengan pengeksport dan pelabur antarabangsa untuk terus menggalakkan penukaran mata wang dan menekankan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
"Pada masa yang sama, BNM kekal komited untuk mengekalkan keadaan pasaran kewangan domestik yang teratur menerusi operasi mudah tunai dan pertukaran asing, sambil terus mengambil langkah-langkah untuk meningkatkan lagi kecekapan, mudah tunai dan kebolehcapaian pasaran," katanya.
Abdul Rasheed juga berkata bank pusat akan terus menyediakan persekitaran yang menggalakkan pelabur antarabangsa untuk melabur di Malaysia.
"Fleksibiliti lindung nilai dinamik terus tersedia untuk pelabur, lalu membolehkan mereka mengambil kedudukan dan pada masa yang sama melindungi pelaburan mereka," katanya.
Selain daripada GLC dan GLIC, beliau berkata sektor swasta juga perlu memainkan peranannya.
Abdul Rasheed berkata menerusi tumpuan yang dipertingkatkan terhadap pelaburan domestik, sektor korporat Malaysia mampu menjadi sebahagian daripada usaha negara ke arah bidang pertumbuhan transformasi utama, terutamanya dalam sektor bernilai tinggi dan dipacu inovasi.
"Kita juga memerlukan perniagaan untuk melabur dan meningkatkan kemahiran dan inovasi, sambil mengikuti trend global seperti penekanan yang semakin meningkat terhadap kelestarian, yang dijangka akan memberikan kesan terhadap rantaian pengeluaran global, perdagangan dan pelaburan serta teknologi," katanya.
Menurutnya, jika Malaysia melaksanakan usaha ini dengan betul, sebagai sebuah negara, Malaysia akan berupaya meningkatkan produktiviti dan memperkukuh asas-asas ekonomi.
"Kemudiannya, kita akan mampu mencapai kekukuhan yang lebih berterusan dalam ringgit serta menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih kukuh dan lebih berdaya saing," katanya.
-- BERNAMA
#ringgit #Bank Negara Malaysia #dolar AS #mata wang tempatan #Tindakan secara kolektif #Abdul Rasheed Ghaffour
;