Tindakan Petronas berhenti pekerja sejajar langkah operasi untuk kekal bertahan

Bernama
Mac 2, 2016 07:44 MYT
JOHARI: Adakah kita nak biarkan syarikat itu gulung tikar?
Tindakan Petronas memberhentikan pekerjanya adalah sejajar langkah penyesuaian operasi bagi memastikan syarikat gergasi minyak nasional itu mampu bertahan dalam situasi harga minyak rendah ketika ini.
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Johari Abdul Ghani berkata, tindakan itu melibatkan sektor perniagaan yang dilihat tidak berdaya maju berikutan penurunan harga minyak pada paras terlalu rendah.
"Kalau kita tidak sesuaikan operasi dengan keadaan semasa, syarikat pun tidak lagi mampu bertahan sehingga (keadaan) ekonomi kembali pulih.
"Jadi, adakah kita nak biarkan syarikat itu gulung tikar atau pun mengalami kerugian sehingga tidak mampu bangkit kembali," katanya di sini, pada Rabu.
Beliau mengulas pengumuman Petronas semalam mengenai langkah transformasinya, termasuk pelaksanaan skim pemisahan kira-kira 1,000 kakitangan yang dianggap berlebihan dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan akan datang.
Struktur baharu Petronas yang akan berteraskan model operasi perniagaan lebih cekap dan berkesan, adalah sebahagian daripada pendekatan terancang syarikat itu bagi menempuh persekitaran luaran yang mencabar.
#Buang Pekerja Petronas #JOHARI ABDUL GHANI #pekerja dibuang #Petronas
;