Tindakan Ferrero, Cargill henti beli minyak sawit Sime Darby Plantation beri impak kewangan minimum

Dagang News
April 18, 2022 05:00 MYT
Impak kewangan terhadap SDP adalah sangat minimum kerana mereka dipercayai boleh memasarkan produk minyak sawit ke tempat lain. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research menjangkakan tindakan Ferrero and Cargill Inc. menghentikan pembelian minyak sawit daripada Sime Darby Plantation (SDP) akan memberikan kewangan yang minimum.
Firma penyelidikan itu menyarankan agar, kumpulan itu mengalihkan produknya ke pasaran lain ketika dunia sedang berhadapan krisis kekurangan minyak sayur.
Katanya, impak kewangan terhadap SDP adalah sangat minimum kerana mereka dipercayai boleh memasarkan produk minyak sawit ke tempat lain dan kumpulan itu sudah mengambil langkah sewajarnya untuk menyelesaikan isu berkaitan amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Pelaksanaan pelan penambahbaikan berterusan untuk menangani 11 petunjuk Pertubuhan Buruh Antarabangsa mengenai buruh paksa.
"Selain itu, kami difahamkan bahawa laporan badan bebas daripada Impactt akan dikeluarkan tidak lama lagi dengan SDP sedang melalui proses kelulusan dalaman," katanya dalam satu nota kajian, pada Isnin.
BACA: Ferrero terlepas pandang pengeluaran minyak sawit mampan Sime Darby Plantation
Terdapat laporan minggu lalu bahawa syarikat konfeksionari gergasi Itali, Ferrero akan menghentikan pembelian minyak sawit dari SDP Perkhidmatan Kastam Amerika Syarikat mendapati kumpulan itu menggunakan buruh paksa.
Gergasi komoditi Amerika Syarikat (AS), Cargill juga menggantung pembelian daripada SDP pada Mac 2022 bagi mendapatkan maklumat berkaitan langkah mengatasi pertuduhan menggunakan buruh paksa.
Firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran pendapatan mereka untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 dan FY23 pada paras RM2.3 bilion dan RM1.66 bilion serta sedang menunggu keputusan kewangan bagi suku tahun pertama yang berakhir 30 Mac 2022.
"Unjuran yang dibuat adalah berdasarkan anggaran harga minyak sawit mentah (MSM) FY22 hingga FY24 iaitu RM4,300 satu tan dan masing-masing RM3,300 satu tan bagi tahun berikutnya," katanya.
Firma penyelidikan itu juga mengekalkan saranan 'beli' untuk SDP dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM5.95 selain kekal memilih kumpulan itu sebagai pilihan utama dalam sektor perladangan kerana kebergantungannya yang tinggi terhadap harga MSM. - DagangNews.com
#Sime Darby #Ferrero #Cargill Inc #minyak sawit
;