Tindakan CBP AS ubah hasil penemuan buruh paksa jadi kredit positif bagi SDP - Moody's
Bernama
Februari 6, 2023 05:15 MYT
Februari 6, 2023 05:15 MYT
KUALA LUMPUR: Perubahan yang dibuat oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) ke atas hasil penemuan buruh paksa adalah kredit positif untuk Sime Darby Plantation Bhd (SDP), menurut Moody's Investors Service.
Firma penyelidikan itu menjelaskan ini kerana ia berfungsi sebagai perakuan daripada pihak ketiga bebas bahawa produk SDP yang berada di bawah penelitian rapi tidak lagi dihasilkan oleh buruh paksa.
Dalam nota ulasan penerbit pada Isnin, perubahan itu juga menghapuskan risiko sekatan selanjutnya ekoran penemuan buruh paksa oleh CBP AS pada Januari 2022, yang boleh menyebabkan kelemahan kualiti kredit SDP jika tidak ditangani, tambah Moody's.
Pada 3 Feb 2023, CBP AS telah membenarkan pengimportan minyak sawit daripada SDP ke negara itu berkuat kuasa serta-merta memandangkan pihaknya telah mengubah hasil penemuan buruh paksa terhadap SDP.
"Hasil penemuan ini akan membantu mengurangkan risiko alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dengan memperkukuh hubungan SDP dengan pihak berkepentingan, yang mungkin sebaliknya telah mempertimbangkan larangan hubungan mereka dengan syarikat ini jika dakwaan buruh paksa tidak ditangani dan diselesaikan," menurutnya.
Moody's menambah selain itu, larangan ini mungkin termasuk oleh pelanggan yang menetapkan had pembelian produk SDP atau pemberi pinjaman menarik pembiayaan kerana dasar kemampanan yang menghalang pemberian pinjaman kepada syarikat yang didakwa melanggar piawaian buruh antarabangsa.
"Penetapan oleh CBP AS itu disokong oleh tindakan SDP yang terlibat secara proaktif dengan pihak berkepentingannya selain menambah baik amalan buruh terutama sejak dua tahun lepas," jelasnya.
Moody's menambah bahawa amalan kemampanan yang dipertingkatkan SDP turut merangkumi pertimbangan alam sekitar, termasuk pemakluman mengenai kerangka terperinci pada Disember 2022 untuk mencapai pelepasan sifar bersih merentas keseluruhan rantaian nilainya menjelang 2050.
"Usaha sedemikian, bersama-sama dengan dasar kewangan konservatif syarikat, memastikan pertimbangan ESG hanya mempunyai kesan kredit negatif secara sederhana (CIS-3) ke atas SDP, walaupun pendedahan kredit yang sangat negatif kepada risiko alam sekitar (Skor Profil Penerbit (IPS) E-4) dan sosial (S-4 IPS) yang berkaitan dengan pengeluaran minyak sawit," tambahnya.
-- BERNAMA