Time lengkapkan urus niaga dengan DigitalBridge untuk pengembangan pusat data

Bernama
April 20, 2023 20:15 MYT
Pelan itu akan berpusat pada AIMS sebagai platform utama untuk pengembangan dalam ruang pusat data yang sangat bersambung. - Gambar Facebook Time Internet
KUALA LUMPUR: Time dotCom Bhd (Time) melengkapkan transaksinya dengan dana gabungan DigitalBridge Group Inc yang tersenarai di New York untuk perkongsian strategik yang bertujuan mempercepatkan pengembangan perniagaan pusat data AIMS Group (AIMS) di seluruh Asia.
Dalam satu kenyataan pada Khamis, penyedia telekomunikasi itu berkata, dengan lengkapnya perjanjian tersebut, kedua-dua pihak dalam kedudukan yang baik untuk mengembangkan secara pesat dan taktikal kemudahan pusat data merentas bandar-bandar yang bukan sahaja di Asean tetapi lebih daripada itu.
"Kami menumpukan kepada penyediaan perkhidmatan yang terbaik dalam kelasnya kepada syarikat multinasional, perusahaan besar, penyedia kandungan, penyedia infrastruktur internet dan institusi kewangan," katanya.
Pelan itu akan berpusat pada AIMS sebagai platform utama untuk pengembangan dalam ruang pusat data yang sangat bersambung, berpusatkan ekosistem sambil menjadikan Malaysia sebagai hab teras dan pintu masuk untuk ketersambungan yang lebih luas di rantau ini.
"Kami teruja untuk memulakan bab seterusnya dalam perjalanan AIMS untuk menjadi penyedia pusat data terkemuka di Asia. Kami percaya pengalaman global DigitalBridge dalam pasaran lain akan berfungsi sebagai pemecut yang kritikal dalam rancangan pengembangan kami," kata Ketua Pegawai Eksekutif Time Afzal Abdul Rahim.
Ketua Asia DigitalBridge Justin Chang berkata cabang pelaburan infrastruktur digital global itu berharap untuk mewujudkan platform pusat data paling terhadapan dan saling ketersambungan di rantau ini.
"Kami percaya kombinasi Time, AIMS dan DigitalBridge akan menjadi amat berkuasa dan boleh mempercepatkan pertumbuhan perniagaan dengan pantas," katanya.
-- BERNAMA
#ASEAN #pelaburan #Time dotCom Bhd #aims