TikTok Shop Summit kembali, bakal beri manfaat kepada PMKS

Astro Awani
September 27, 2024 22:33 MYT
Majlis Perasmian Tiktok Shop Summit 2024 disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Kredit foto: TikTok Shop
KUALA LUMPUR: TikTok Shop Summit, acara tahunan yang memperkasakan komuniti penjual Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS), kembali lagi tahun ini.
Memberi tumpuan kepada tema #JomLokal: Ini Cara Malaysia, persidangan pada tahun ini dijangka memberi banyak manfaat kepada PMKS.
Pengarah Kerjasama Strategik, TikTok Shop Malaysia, Nur Azre Abdul Aziz berkata, dalam TikTok Shop Summit tahun ini, jenama tempatan berpeluang meneroka peluang pertumbuhan baharu melalui sesi pemadanan dengan pencipta kandungan terkemuka.
Menurutnya, antara yang mengambil bahagian ialah Khairul Aming, Pinn Yang, Dear Carynn, Almiyaz, TulipPetals dan ramai lagi.
“Jadi untuk kempen Jom Lokal ini, ia akan memanfaatkan kebanyakan golongan IKS, yang mana kita beri sokongan tambahan seperti baucar, trafik, bantuan ‘content creators’, dan akan disokongan juga dengan kerjasama agensi kerajaan.
“Contohnya hari ini kita telah lancarkan Kempen Beli Barangan Malaysia yang akan memanfaatkan lebih daripada 300,000 SKU (unit simpanan stok) produk tempatan,” katanya.
Selain itu, usahawan juga berpeluang belajar daripada pakar dan penjual terbaik semasa sesi perkongsian, berkaitan strategi ‘shoppertainment’ yang memanfaatkan aplikasi tersebut sebaiknya terutama dari aspek corak pelanggan.
Lebih menarik, Nur Azre berkata, pelanggan juga bakal menerima pelbagai diskaun dan penghantaran percuma tanpa had.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perasmian Tiktok Shop Summit 2024 yang disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali di Kuala Lumpur, pada Khamis.
#Khairulaming #TikTok #usahawan #Malaysia
;