TikTok Shop bolehkan pembeli pulang barangan yang dibeli kerana 'ubah fikiran'
Amanz
Jun 8, 2024 09:40 MYT
Jun 8, 2024 09:40 MYT
TIKTOK Shop kini mengumumkan pengenalan ciri baharu, iaitu pemulangan barangan yang dibeli kerana “tidak lagi diperlukan”.
Dengan langkah ini, ia membolehkan seseorang pembeli mengembalikan produk dan menerima wang kembali kerana mereka mengubah fikiran daripada membeli produk tersebut.
Ciri baharu ini akan diaktifkan berkuat-kuasa 7 Julai 2024 kelak.
Pelanggan boleh memulangkan kembali produk yang “tidak lagi diperlukan” ini dalam tempoh 15 hari selepas produk dihantar penjual TikTok Shop Mall, dan 6 hari untuk yang bukan penjual TikTok Shop Mall.
Untuk memulangkannya, pembeli perlu terlebih dahulu melakukan permohonan pemulangan wang kembali dengan memilih pilihan “tidak lagi diperlukan”.
Penjual atau pekedai akan diberikan masa sehari untuk mengesahkannya, atau sistem TikTok Shop akan mengesahkan ia secara automatik sekiranya selepas tempoh sehari berkenaan.
Pembeli kemudiannya perlu melakukan penghantaran kembali produk kepada penjual, dan akan menerima pulangan wang kembali.
TikTok Shop turut menyatakan akan melindungi penjual, dan akan menghalang pengguna atau pelanggan yang menyalahguna ciri baharu ini.
TikTok juga mengehadkan kategori barangan yang boleh dipulangkan, dan ia tidak meliputi produk kecantikan, pakaian dalam, kategori bayi & mengandung, makanan & minuman, dan beberapa yang lain.
Untuk makluman, sebelum ini pihak Shopee turut telah memperkenalkan ciri lebih kurang sama pada platform mereka. - Amanz