Tiga syarikat bekerjasama bangunkan projek pertanian lestari di Sarawak - SEDC
Nabilah Khaleeda
September 23, 2024 14:30 MYT
September 23, 2024 14:30 MYT
KUCHING: SEDC Nutreco Sdn Bhd, Entomal Borneo Sdn Bhd dan Natpro Biotech Sdn Bhd mengumumkan usaha sama untuk membangunkan projek inovatif pertanian dan akuakultur lestari, Black Soldier Fly (BSF) atau lalat askar hitam.
Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) dalam satu kenyataan berkata kerjasama ini bertujuan merevolusikan pengeluaran makanan mampan dan pengurusan sisa di Sarawak.
"Perjanjian ini menandakan satu langkah penting ke arah masa depan yang lebih hijau dan lestari, serta menyumbang kepada usaha membina masa depan negeri itu selari dengan prinsip 'Prospering Sarawak Today for Tomorrow' mereka.
"Ia antaranya bagi menangani cabaran global seperti isu keterjaminan makanan dan pengurusan sisa, dan diharapkan dapat memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekonomi hijau Sarawak dengan memanfaatkan teknologi lestari," katanya dalam satu hantaran Facebook pada Isnin.
Usaha berkenaan yang dimeterai pada 5 September 2024 lepas turut menyasarkan untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber makanan konvensional, sekali gus mengurangkan jejak karbon dan mempromosikan amalan pertanian lebih mesra alam.
Majlis menandatangani perjanjian usaha sama ini turut dihadiri oleh wakil-wakil penting daripada setiap syarikat, termasuk Pengurus Besar SEDC merangkap Pengarah SEDC Nutreco, Datu Abdul Hadi Abdul Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif Entomal Borneo, Vic Pui Wee Kong dan Pengarah Urusan Natpro Biotech, Syed Ahmad Tarmizi Wan Yusop.