Tiga puteri legenda Malaysia nama kapal baharu Petronas di Kanada

Sinar Harian
Julai 8, 2024 16:45 MYT
Petronas menamakan tiga kapal LNG baharu sebagai Puteri Saadong, Puteri Ledang, dan Puteri Santubong sebagai persediaan untuk operasi cawangan LNG Kanada yang akan bermula tahun ini.
PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas) menamakan tiga kapal gas asli cecair (LNG) baharunya dengan nama Puteri Saadong, Puteri Ledang dan Puteri Santubong sebagai langkah persediaan memulakan operasi cawangan LNG Kanada yang dijangka bermula pada tahun ini.

Ringkasan AI
  • Petronas menamakan tiga kapal LNG baharu sebagai Puteri Saadong, Puteri Ledang, dan Puteri Santubong sebagai persediaan untuk operasi cawangan LNG Kanada yang akan bermula tahun ini.
  • Dengan penambahan tiga kapal ini, jumlah kapal LNG Petronas kini menjadi enam, masing-masing dibina di limbungan Hyundai Heavy Industries di Korea Selatan dengan kapasiti kargo 174,000 meter padu.
  • Petronas, yang mempunyai pegangan saham 25% dalam LNG Kanada di Kitimat, mengukuhkan komitmennya untuk menyediakan penyelesaian tenaga karbon rendah dengan operasi kilang berintensiti pelepasan karbon rendah dijangka bermula akhir tahun 2024.

Ketua Pegawai Operasi Petronas, Adnan Zainal Abidin berkata, dengan penambahan itu, jumlah pengangkutan untuk operasi berkenaan kini sebanyak enam buah kapal.
“Kapal-kapal ini didahului oleh penghantaran dan penamaan tiga kapal pertama, Puteri Saadong, Puteri Ledang, dan Puteri Santubong, pada Januari 2024.
“Kapal-kapal yang dibina di limbungan kapal Hyundai Heavy Industries (HHI) di Ulsan, Korea Selatan itu, masing-masing mempunyai kapasiti kargo sebanyak 174,000 meter padu dan merupakan kapal terbesar dalam armada pelbagai saiz milik Petronas.
“Dengan pengembangan strategik armada LNG, Petronas bukan sahaja meningkatkan kesediaannya untuk permulaan LNG Kanada yang akan datang, tetapi juga menekankan komitmen sebagai rakan tenaga progresif yang menyediakan penyelesaian karbon rendah untuk pelanggannya,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam pada itu, ujar Adnan Zainal, LNG sebagai komponen utama untuk peralihan tenaga yang stabil, dijangkakan akan kekal relevan untuk masa hadapan.
“Dengan ketibaan kapal-kapal baru ini, Petronas memperkukuhkan komitmennya untuk menghantar bahan bakar yang amat diperlukan ini kepada pelanggannya dengan cara yang kos efektif dan boleh dipercayai.
“Petronas mempunyai pegangan saham sebanyak 25 peratus dalam LNG Kanada di Kitimat, British Columbia, yang mana merupakan salah satu kilang dengan intensiti pelepasan karbon terendah di dunia.
“Kemudahan ini dijangka akan beroperasi pada akhir tahun 2024,” ujarnya. - Sinar Harian
#Petronas #kapal baharu #Kanada #legenda puteri
;