Tiga firma semikonduktor mahu labur AS$100 juta di Pulau Pinang - Chow

Bernama
April 27, 2024 18:09 MYT
Chow berkata pemeteraian memorandum persefahaman dengan syarikat semikonduktor itu dilaksanakan sewaktu berlangsungnya Sidang Kemuncak KL20 pada minggu lepas yang menjadi asas bagi hasrat itu. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Tiga syarikat semikonduktor baharu berminat untuk melabur di Pulau Pinang membabitkan jumlah pelaburan sebanyak AS$100 juta (AS$1=RM4.76), kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Syarikat berkenaan adalah China Wafer Level CSP Co (WLCSP), Ningbo SJ Electronics Co (SJE) dan Wuxi AMTE Inc (AMTE).
Chow berkata pelaburan AS$100 juta itu sebagaimana dinyatakan oleh Blue Chip Venture Capital (BCVC), berperanan penting dalam menarik pelaburan strategik ke Pulau Pinang dan dijangka merancakkan segmen reka bentuk litar bersepadu (IC) negeri itu yang kian berkembang dengan ekosistem pembungkusan serba maju.
"WLCSP merevolusikan industri semikonduktor dengan bertindak membangunkan teknologi inovatif selain membantu pelanggan melaksanakan pembuatan pakej semikonduktor dengan volum tinggi.
"SJE pula berpengalaman luas dalam bahan, peralatan serta keupayaan penyelidikan dan pembangunan hebat manakala AMTE adalah penyedia utama radas pembuatan semikonduktor dihasilkan di China dengan produk utama tertumpu kepada peralatan 'etching' atau pengetsaan dan pemproses filem yang digunakan di bahagian hadapan pemprosesan semikonduktor," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Chow berkata pemeteraian memorandum persefahaman dengan syarikat semikonduktor itu dilaksanakan sewaktu berlangsungnya Sidang Kemuncak KL20 pada minggu lepas yang menjadi asas bagi hasrat itu.
Selain itu, menjawab gesaan bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng supaya negeri itu menjalankan pascanilai bagi meneliti bagaimana Pulau Pinang terlepas peluang hab atau taman reka bentuk IC kepada Selangor, Chow menegaskan bahawa Pulau Pinang masih kekal menarik kepada pelabur.
Malah, beliau juga menyambut baik sebarang pertemuan dengan Lim untuk membincangkan perkara itu.
Dalam pada itu, Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Blue Chip VC Tim Chen menyifatkan kerjasama dengan Pulau Pinang sebagai satu perkembangan penting dalam industri semikonduktor negeri itu dan akan memakan masa beberapa bulan sebelum dapat dilaksanakan.
"Usaha bersama ini dapat mewujudkan ratusan peluang pekerjaan," katanya.
Hadir sama, Pengarah Urusan Oriza PE Yao Hua, Pengasas Gallizul Capital Steven Hsieh dan Ketua Pegawai Eksekutif Rigol Technologies Wang Ning.
-- BERNAMA
#semikonduktor #pulau pinang #pelaburan #syarikat China #Chow Kon Yeow
;