Tiga daripada empat prasyarat penswastaan MAHB sudah dipenuhi, dijangka selesai 4Q24 - Kenanga Research

Dagang News
September 2, 2024 15:00 MYT
Menurut firma penyelidikan itu, setelah syarat keempat dipenuhi, tawaran akhir dijangka diumumkan dengan tawaran yang dicadangkan bakal diselesaikan menjelang suku keempat 2024 (4Q24).
KUALA LUMPUR: Kenanga Research berkata, pihaknya difahamkan tiga daripada empat prasyarat bagi cadangan penswastaan Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB) yang bernilai lebih RM12 bilion telah pun dipenuhi.
Menurut firma penyelidikan itu, setelah syarat keempat dipenuhi, tawaran akhir dijangka diumumkan dengan tawaran yang dicadangkan bakal diselesaikan menjelang suku keempat 2024 (4Q24).
"Kami difahamkan tiga daripada empat prasyarat telah dipenuhi. Setelah syarat keempat dipenuhi, tawaran akhir dijangka diumumkan.
"Untuk makluman, konsortium yang terdiri daripada Khazanah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York dan Pihak Berkuasa Pelaburan Abu Dhabi (ADIA) sedang membeli saham MAHB yang belum dimiliki, yang akan memberikan pegangan sebanyak 67.01% dengan harga RM12.3 bilion atau RM11.00/saham secara tunai.
"Konsortium ini tidak berniat untuk mengekalkan status penyenaraian MAHB. Tawaran yang dicadangkan dijangka diselesaikan menjelang 4Q24," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Di bawah syarat-syarat cadangan pengambilaihan, konsortium akan membeli semua baki 1.12 bilion saham MAHB yang tidak dimiliki pada masa tersebut, mewakili 58.77% pegangan, dengan harga RM11 setiap saham.
Beberapa media pada 13 Jun 2024 melaporkan MAHB memaklumkan telah memenuhi satu daripada empat prasyarat bagi cadangan penswastaan pengendali lapangan terbang itu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MAHB berkata, Pihak Berkuasa Am Untuk Persaingan Arab Saudi (GAC) mengeluarkan sijil yang mengesahkan bahawa perjanjian penswastaan ​​tidak memerlukan pemberitahuan kepada GAC.
Baki tiga prasyarat yang diperlukan adalah daripada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Pihak Berkuasa Persaingan Turki dan Pihak Berkuasa Persaingan Mesir.
Sementara itu, Kenanga Research menaikkan ramalan keuntungan bersih tahun kewangan 2024 dan 2025 (FY24-FY25) MAHB masing-masing sebanyak 11%.
Kata firma penyelidikan tu, keputusan separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24) MAHB melebihi jangkaan pihaknya tetapi masih dalam jangkaan pasaran.
Jelasnya, keuntungan bersih teras 1HFY24 MAHB telah meningkat dua kali ganda, disokong pertumbuhan penumpang antarabangsa.
"Harga sasaran (TP) kami adalah harga tawaran RM11.00 dengan saranan 'Terima Tawaran'.
"Risiko terhadap cadangan kami ialah konsortium gagal untuk mendapatkan pegangan 90% untuk memastikan penswastaan MAHB," jelasnya. - Dagang News
#MAHB #Kenanga Research #pengambilalihan MAHB #penswastaan MAHB