Tidak perlu terlalu negatif dengan unjuran ekonomi negara - Pakar
Astro Awani
Januari 20, 2015 12:15 MYT
Januari 20, 2015 12:15 MYT
Tidak perlu terlalu negatif dengan unjuran ekonomi negara ketika ini disebabkan kejatuhan harga minyak mentah dan nilai ringgit yang rendah.
Menurut Ketua Ekonomi Bank Islam, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, ia disebabkan unjuran kadar defisit fiskal adalah jauh lebih rendah bagi 2015 iaitu 3.2 peratus berbanding krisis ekonomi yang dialami negara pada 2008 dengan kadar defisit fiskal 6.7 peratus daripada nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK).
Beliau yang diwawancara secara langsung dalam Buletin AWANI juga memberitahu bahawa negara berada luar dari krisis ekonomi mahupun kegawatan.
“Pembentangan mengenai penilaian semula bajet yang proaktif seperti ini adalah amat dialu-alukan untuk menilai keadaan semasa. Kebelakangan ini kita melihat harga minyak merudum dalam kadar yang agak banyak. Namun, dari segi unjuran ekonomi, ia adalah sesuatu yang dalam jangkaan pihak kami,” ujar Mohd Afzanizam.
Tambahnya, hal tersebut seharusnya tidak menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan agensi penarafan.
“Bagi saya, risiko untuk mengalami penurunan penarafan adalah pada kadar rendah. Kita lihat sebelum ini ringgit bergerak dengan begitu rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan ditambah pula dengan laporan-laporan ekonomi luar negara yang membawa gambaran negatif.
“Hakikatnya, kerajaan Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta kadar apungan terkawal harga minyak. Ini mempu memberi sokongan kepada nilai ringgit,” jelasnya.
Bagaimanapun katanya, cabaran besar yang perlu diatasi negara pada tahun 2015 adalah faktor luaran seperti krisis ekonomi di Eropah, kenaikan kadar faedah AS serta pertumbuhan ekonomi China yang perlahan.
Semua itu secara langsung mempengaruhi aliran modal negara dan dibimbangi menjejaskan unjuran ekonomi Malaysia.
Mohd Afzanizam mengulas intipati kandungan perutusan khas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pagi tadi yang membentangkan perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara.