Tidak mahu rakyat ketinggalan, Imika buka 20 cawangan di Sabah, Sarawak

Abd Razak Mohd Ali
Jun 14, 2023 17:30 MYT
Dari kiri: Abdul Rahim, Azhar dan Muhammad Khairul.
IPOH: Berkat kesungguhan mahu melihat lebih ramai rakyat memiliki komputer riba supaya tiada yang tertinggal daripada arus kemajuan teknologi maklumat, Imika Malaysia berjaya membuka 20 cawangan di Sabah dan Sarawak, dalam masa hanya beberapa bulan.
Dengan 30 cawangan di Semenanjung setakat ini, syarikat itu optimis mampu mencapai sasaran mewujudkan 100 cawangan menjelang hujung tahun ini.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Imika Malaysia, Abdul Rahim Tahir berkata, sejak membuka cawangan di Sabah dan Sarawak, sambutan orang ramai terhadap syarikat mereka di luar jangkaan.
“Ada yang kami buka di kawasan seperti Keningau dengan Mukah, kami dikira antara kedai komputer yang pertama di kawasan tu.
“Jadi matlamat kita adalah hendak menyediakan lebih pilihan untuk masyarakat Borneo, jadi kita jual harga yang sama, baik di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Malah di pedalaman dan bandar, kita beri harga yang sama bagi memastikan rakyat Malaysia dapat peluang dan pilihan yang sama,” katanya ketika di temui di ibu pejabat Imika Malaysia di Ipoh.
Imika Malaysia menawarkan komputer riba diperbaharui pada harga mampu milik sejak 13 tahun lalu, di samping menawarkan khidmat yang berkaitan.
Abdul Rahim berkata, mengambil sempena nama Menu Rahmah, syarikat menjenamakan semula komputer riba mampu milik sebagai mereka Laptop Rahmah.
“Laptop Rahmah berharga di bawah RM1,000 dan diberi jaminan selama satu tahun.
“Bukan itu sahaja, kita juga ada beri percuma telefon pintar ataupun pencetak (printer) dan jadi pelanggan boleh pilih mana satu yang diperlukan,” ujarnya.
Menurutnya, untuk pembelajaran, Laptop Rahmah sangat membantu, baik bagi keluarga yang kurang berkemampuan, mahupun yang berkemampuan.
Mengenai sasaran jangka panjang, Abdul Rahim berkata, sayarikat mahu terus menyediakan peralatan digital yang mudah diperolehi dan mampu milik.
Dalam masa sama, katanya syarikat juga mahu menyediakan 500 peluang pekerjaan, di samping memberi latihan kemahiran untuk menjadi usahawan IT.
Disebabkan harga yang ditawarkan mampu milik, Imika Malaysia semakin menjadi pilihan ramai, termasuk di kalangan kakitangan swasta.
Seorang kakitangan swasta, Muhammad Khairul Aiman Abdullah berkata, ramai rakan sekerjanya mencadangkan agar membeli komputer riba di Imika Malaysia kerana harga mampu milik dan berkualiti.
“Kegunaan saya untuk sementara ini adalah untuk menyediakan kertas kerja, jadi di sini, banyak spesifikasi komputer riba yang mudah diperolehi,” katanya.
Seorang lagi kakitangan swasta, Azhar Adnan dari Rawang, Selangor berkata, dia memilih Imika kerana percaya dengan produk yang dijual selepas membelinya di Sungai Petani, Kedah, sebelum ini.
“Sebelum ini saya mengenali Imika dari Facebook dan juga rakan-rakan, harganya saya dapati memang murah, ditambah pula ada jaminan. Memang boleh dipercayai dan perkhidmatannya terbaik,” ujarnya.
#Imika #Komputer Riba #laptop #Abdul Rahim Tahir
;