Tiada semakan semula had GST, kata Chua

Bernama
Januari 25, 2015 14:44 MYT
CHUA: Bagi Malaysia yang menetapkan had pada RM500,000, angka itu secara relatifnya normal.
Kerajaan belum ada cadangan untuk membuat sebarang semakan semula ke atas had Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) buat masa ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.
Mengulas laporan yang menyatakan bahawa Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menyokong cadangan supaya kerajaan meningkatkan had GST kepada RM1 juta daripada RM500,000, Chua berkata jumlah itu 'normal'.
"Jika anda bandingkan dengan negara serantau, Thailand dan Filipina menetapkan had masing-masing sekitar RM14,000 dan RM180,000, manakala negara maju seperti United Kingdom dan US (sekitar RM400,000), had kita sebenarnya lebih tinggi.
"Bagi Malaysia yang menetapkan had pada RM500,000, angka itu secara relatifnya normal.
"Kita beraada dalam kedudukan yang tidak terlalu tinggi atau terlalu rendah, dan (kita tidak merancang untuk menkajinya semula) pada masa ini," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majis penyampaian cek '1600 Pandas World Tour', di sini hari ini.
Chua berkata had RM500,000 yang ditetapkan kerajaan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah perniagaan yang terlibat dalam pelaksanaan GST mulai 1 April.
Beliau berkata berdasarkan kajian awal, hanya terdapat antara 12 dan 13 peratus syarikat di Malaysia yang perlu berdaftar untuk CBP memandangkan tidak semua perniagaan memperoleh pendapatan melepasi RM500,000 setahun.
Pengerusi FMM Datuk Saw Choo Boon dilaporkan sebagai berkata bahawa had RM500,000 itu terlalu kecil untuk perniagaan ekoran inflasi dan peningkatan kos barangan.
Saw juga berkata proses mendaftar dan memfailkan GST akan membebankan entiti dan perniagaan kecil.
Sementara itu semasa ditanya mengenai sama ada tarif elektrik akan dikurangkan pada separuh kedua tahun ini disebabkan harga minyak mentah dan arang batu yang rendah, Chua berkata kerajaan akan memantau keadaan sebelum membuat sebarang keputusan.
"Kerajaan perlu mengkaji harga gas dan arang batu disebabkan sebahagian besar pengeluaran tenaga oleh TNB tidak semata-mata menggunakan minyak mentah, malah syarikat utiliti itu juga menggunakan banyak gas dan arang batu.
"Harga arang batu juga susut sedikit, dan kedudukan ini kami sedang pantau. Jika berlaku penurunan selanjutnya dalam bahan mentah untuk penjanaan elektrik, sudah pasti ia perlu dibincangkan," katanya.
Pameran 1600 Panda kertas di Publika Mall di Sri Hartamas itu berlangsung selama dua minggu selepas melakukan pengembaraan di 15 lokasi ikonik di Semenanjung Malaysia bagi mempromosi pentingnya pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.
Mereka yang berminat boleh mendaftar secara dalam talian untuk membawa pulang panda kertas berharga RM150 seekor, dengan keuntungan disalurkan kepada usaha pemuliharaan WWF-Malaysia.
#cadangan #Chua Tee Yong #FMM #GST #had #kerajaan #semakan
;