Tiada pulangan pelaburan kutipan tambang MRT - Nancy

Harits Asyraf Hasnan
Mac 28, 2017 12:48 MYT
Datuk Seri Nancy Shukri berkata rangkaian MRT adalah rancangan jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam di sekitar Lembah Klang.
Kerajaan mengakui tidak memperoleh sebarang pulangan pelaburan melalui kutipan tambang sistem pengangkutan Transit Aliran Massa (MRT).
Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri, berkata rangkaian MRT adalah rancangan jangka panjang kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam di sekitar Lembah Klang.
"Sebagai kerajaan, kita sedar kerajaan tidak akan dapat memperoleh semula pulangan pelaburan yang dibelanjakan untuk MRT melalui kutipan tambang," katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) di Dewan Rakyat hari ini.
Nurul Izzah sebelum itu meminta perdana menteri menyatakan butiran mengenai struktur dan mekanisme yang diambil bagi menentukan tambang pengguna MRT.
Tambah Nancy, semakan kadar tambang perkhidmatan MRT akan dilakukan setiap lima tahun dengan mengambil kira pelbagai kos semasa termasuk pengurusan, insurans serta penyelenggaraan kenderaan, landasan, stesen dan depoh.
Jelasnya, penilaian semula kos semasa yang berkaitan, kerajaan akan mempertimbangkan apa yang bakal diperoleh pihak MRT, sama ada keuntungan atau sebaliknya.
"Kadar tambang tidak dinaikkan seperti yang dilaksanakan dalam perjanjian konsesi (lebuh raya)... kerajaan hanya melakukan semakan terhadap kos semasa, apa yang boleh membantu mereka (operator) mengendalikan MRT dari segi pengendalian kos.
"Ini kerana kita perlu menambah baik sistem perkhidmatan itu, termasuk memperbaiki dan menyelenggara kemudahan perkhidmatan MRT," katanya ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.
Nancy menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Fauzi Zahari (BN-Setiawangsa) yang ingin mengetahui sama ada struktur kadar tambang MRT mengguna pakai struktur kadar tol lebuh raya.
#MRT #Nancy Shukri #pelaburan #pulangan
;