Tiada desakan untuk BNM naikkan OPR - AmBank

Bernama
Jun 24, 2023 17:08 MYT
Jawatankuasa Dasar Monetari memberi bayangan perlunya untuk memastikan pendirian dasar monetari adalah sesuai untuk mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Tiada keperluan mendesak bagi Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menyemak semula Kadar Dasar Semalaman (OPR) memandangkan inflasi keseluruhan Malaysia dan inflasi perkhidmatan terus menunjukkan aliran penurunan, kata AmBank Group.
Bahagian ekonomi bank itu berkata bahawa dengan inflasi teras Malaysia setakat ini berada pada tahap sederhana disebabkan aktiviti pengambilan pekerja yang lebih perlahan dan kesan lewat daripada kenaikan kadar terkumpul 125 mata asas (bps), tidak ada keperluan mendesak untuk kadar faedah dinaikkan lebih tinggi pada ketika ini.
"Inflasi perkhidmatan juga berada dalam aliran menurun, susut kepada 3.9 peratus tahun ke tahun (April 2023: 3.6 peratus tahun ke tahun)," katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Oleh itu, AmBank berkata, OPR berkemungkinan kekal pada 3.00 peratus untuk keseluruhan 2023.
Bagaimanapun, Jawatankuasa Dasar Monetari memberi bayangan perlunya untuk memastikan pendirian dasar monetari adalah sesuai untuk mengelakkan risiko ketidakseimbangan kewangan pada masa hadapan.
"Ini memberi bayangan bahawa pelarasan kadar faedah masa depan mungkin boleh dilaksanakan. Bagaimanapun, dari sudut pandangan kami, ia bergantung kepada bagaimana ekonomi dan petunjuk inflasi teras akan berkembang untuk bulan-bulan akan datang," katanya.
Sementara itu, inflasi keseluruhan Malaysia berkurangan pada Mei dan meneruskan aliran menurunnya, susut kepada 2.8 peratus tahun ke tahun pada Mei 2023 (April 2023: 3.3 peratus tahun ke tahun).
"Ini menjadikan inflasi sehingga kini kepada 3.4 peratus, iaitu dalam unjuran setahun penuh kami antara 3.0 peratus hingga 3.5 peratus.
"Pada asas bulan ke bulan, inflasi keseluruhan meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan," kata AmBank.
-- BERNAMA
#BNM #OPR #AmBank Group #faedah masa depan
;