Thai VietjetAir unjur sejuta penumpang pada tahun pertama operasi

Bernama
Disember 21, 2014 21:19 MYT
Syarikat dijangka menjalankan operasinya pada suku pertama tahun depan. - Sumber vietnamtourism.gov.vn
Syarikat penerbangan tambang rendah baharu Thailand, Thai VietjetAir, menyasar untuk membawa sejuta penumpang dalam tahun pertama operasinya.
Syarikat dijangka menjalankan operasinya pada suku pertama tahun depan dengan tiga pesawat Airbus A320 dan menambah antara tiga hingga lima pesawat setahun selepas itu, kata Pengerusinya Dr Nguyen Thanh Hung pada sidang media selepas majlis perasmian Thai VietjetAir dan penerimaan sijil pengendali pesawatnya semalam.
Pesawat yang akan digunakan itu dijangka daripada 100 pesawat ditempah oleh syarikat induknya, Vietjet daripada Airbus pada 2013 dalam kontrak bernilai US$9.1 bilion dan akan diserahkan kepada Vietjet pada kadar enam hingga 12 pesawat setahun.
ThaiVietjet, usaha sama antara syarikat penerbangan swasta pertama Vietnam, Vietjet Aviation Joint Stock Co dan rakan kongsi Thailand, akan pada mulanya mengendalikan penerbangan domestik di Thailand, katanya.
Syarikat penerbangan itu akan beroperasi dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok, menjadikannya mudah untuk menghubungkan pengembara dari Thailand dan Vietnam, katanya.
ThaiVietjet bersedia untuk memberi perkhidmatan setelah adanya segala kemudahan dan kini hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa untuk memulakan penerbangan, katanya.
Beliau berkata syarikat akan memperluaskan rangkaian perkhidmatannya menghubungkan Thailand dan destinasi serantau lain dalam masa terdekat seperti Vietnam, Myanmar, China, Singapura, Korea Selatan dan India.
Syarikat itu yang menyasar untuk membawa 10 juta penumpang setahun pada tahun kelima operasi, berharap dapat menggunakan konsep sama seperti Vietjet, syarikat penerbangan yang menguntungkan di Vietnam, katanya.
Walaupun Vietjet hanya memulakan operasi tiga tahun lepas, syarikat telah menguasai 34 peratus bahagian pasaran, mengendalikan 130 penerbangan sehari dengan 19 pesawat A320. - Minggu Simon Lhasa
#Airbus A320 #Nguyen Thanh Hung #operasi #penumpang #Sasar #tahun pertama #ThaiVietjetAir
;