TETP fokus lima objektif bangunkan ekonomi Terengganu menjelang 2020
Bernama
Oktober 9, 2016 20:51 MYT
Oktober 9, 2016 20:51 MYT
Program Transformasi Ekonomi Terengganu (TETP) menumpukan kepada lima objektif untuk membangunkan ekonomi negeri menjelang 2020, kata Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman.
Beliau berkata lima objektif yang perlu dicapai dalam tempoh lima tahun itu bukan sahaja akan merealisasikan tiga indikator TETP tetapi mampu mewujudkan sebanyak 41,201 peluang pekerjaan di negeri ini.
Katanya tiga indikator itu ialah meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) daripada RM26.5 bilion kepada RM41.5 bilion, meningkatkan pertumbuhan KDNK daripada 4.4 peratus kepada 8 peratus dan meningkatkan pendapatan purata isi rumah daripada RM4,816 kepada RM8,000 sebulan.
"TETP menyenaraikan lima objektif pencapaian iaitu meningkatkan kadar pertumbuhan KDNK negeri agar berkembang pada kadar 3.6 peratus dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (2010-2015) dan ia dijangka tumbuh pada kadar 4.2 peratus dalam RMK-11 (2016-2020)," katanya dalam ucapan semasa merasmikan Gallery Walk di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail.
Ahmad Razif berkata objektif kedua ialah memperkasakan agenda Bumiputera manakala objektif ketiga, merapatkan jurang pembangunan mengikut wilayah.
Selain itu, katanya meningkatkan pendapatan isi rumah berikutan pada 2014, Terengganu hanya mencatat sebanyak RM4,816 sebulan berbanding RM6,141 di peringkat Persekutuan.
"Sebanyak 73 peratus isi rumah di Terengganu adalah penerima Baucar Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan ini bermakna mereka mempunyai pendapatan di bawah RM4,000 sebulan.
"Objektif kelima ialah meningkatkan pelaburan sektor swasta dalam memacu pembangunan negeri," katanya.