Tetingkap Tunggal Nasional mudahkan operasi perdagangan - Tengku Zafrul
Pia Ernadya
September 17, 2024 21:19 MYT
September 17, 2024 21:19 MYT
KUALA LUMPUR: Inisiatif Tetingkap Tunggal Nasional (National Single Window) yang bakal diharmonikan bersama sistem kastam China akan memudahkan operasi perniagaan dan perdagangan antara Malaysia dan China.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, ia juga dapat mengurangkan kerenah birokrasi (red tape) dan menyelaras proses, serta melancarkan proses perdagangan rentas sempadan antara dua buah negara itu.
Beliau menambah, inisiatif ini juga mencerminkan komitmen kedua-kedua Kerajaan untuk memanfaatkan teknologi dari aspek perdagangan dua hala.
"Seterusnya, Kerajaan dan MITI juga akan mengutamakan perluasan capaian NSW untuk berintegrasi dengan Tetingkap Tunggal ASEAN (ASEAN Single Window)," katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama antara MYEG Services Bhd dan Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) pada Selasa.
Ujarnya lagi, kolaborasi MYEG dengan FMFF untuk menubuhkan platform ZTrade ini bukan sahaja akan meningkatkan daya saing di peringkat global tetapi juga memupuk persekitaran yang lebih kondusif untuk perniagaan berkembang maju berasaskan inovasi.
Platform ZTrade ialah sebuah platform Web 3 yang menyediakan pengesahan dan pertukaran dokumen perdagangan digital untuk perdagangan barangan antara China dan rakan kongsi dagangan globalnya.
"Saya difahamkan bahawa ZTrade telah menggabungkan elemen terbaik yang diadaptasi daripada pelaksanaan National Single Window dari China.
"Sistem dokumen perdagangan berasaskan blockchain ini berpotensi merombak cara perdagangan dilaksanakna, membuka era baru ke arah kecekapan, ketelusan dan pematuhan yang belum pernah dicapai sebelum ini.
"Syarikat-syarikat juga berpeluang meraih manfaat daripada pengurangan kos, masa pelepasan yang lebih cepat dan komunikasi yang lebih baik dengan agensi kawal selia," tambahnya.
Jelas Tengku Zafrul, MITI juga komited untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Kewangan dan Pentadbiran Am Kastam China untuk memastikan kejayaan pelaksanaan ‘satu tetingkap saling kendali’ ini untuk memupuk lanskap perdagangan yang lebih cekap, telus, selamat dan berdaya tahan.