Tesla buka tempahan Model Y di Malaysia bermula RM199,000

Sinar Harian
Julai 14, 2023 19:50 MYT
Model Y dijangka mula diserahkan kepada pelanggan pada awal tahun depan. - Foto Tesla
TESLA mengumumkan kenderaan utiliti sukan (SUV) Model Y elektrik sepenuhnya kini boleh ditempah di negara ini mulai Jumaat ini pada pada harga bermula RM199,000.
Menerusi laman sesawangnya, Tesla yang bakal membuat kemunculan rasmi di pasaran Malaysia minggu depan memaklumkan, Model Y dijangka mula diserahkan kepada pelanggan pada awal tahun depan.
SUV tersebut yang boleh ditempah menerusi pautan tesla.com/en_my/modely/tesla.com/en_my menjadi model elektrik paling laris di dunia selain tersenarai sebagai antara kereta paling selamat di jalan raya dengan penarafan lima bintang daripada NHTSA dan Euro NCAP.
Mengikut perinciannya, kenderaan itu didatangkan dalam tiga varian iaitu versi Model Y [pacuan roda belakang dan pecutan hingga 100 kilometer perjam (km/j) dalam masa 6.9 saat] yang dijual pada harga RM199,00.
Model Y jarak jauh (pacuan semua roda dan dwi-motor) pula ditawarkan pada harga bermula RM246,000 dengan jarak pemanduan lebih jauh iaitu 533 kilometer (km).
Kelajuan maksimum varian itu adalah 217km/j dengan pecutan 0-100km/j dalam masa lima saat.
Varian terakhir adalah Model Y prestasi tinggi (pacuan semua roda dan dwi-motor) dengan harga bermula RM288,000.
Varian berkenaan menawarkan jarak pemanduan 514km dan lebih laju dengan kelajuan maksimum 250km/j dan pecutan 0-100km/j dalam masa 3.7 saat sahaja. - Sinar Harian
#Tesla #Model Y #tempahan dibuka #Malaysia #SUV
;