TESLA buka ibu pejabat, pusat pengalaman, pusat servis di Malaysia

Afiezy Azaman
Mac 1, 2023 03:25 MYT
Tengku Zafrul berkata, kemasukan TESLA dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif BEV Global Leaders bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan.
KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI) telah meluluskan permohonan TESLA untuk mengimport Bateri Kenderaan Elektrik (BEV) ke Malaysia.
Menurut Menterinya Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, dalam merealisasikan objektif ini, TESLA akan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia.
Selain itu, ia akan memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis TESLA serta mewujudkan rangkaian pengecas Superchargernya di Malaysia.
Katanya, kehadiran TESLA di Malaysia dijangka mewujudkan peluang pekerjaan yang mampu menawarkan gaji lebih baik bagi segmen BEV dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam ekosistem TESLA di peringkat domestik dan global.
“Kami gembira dengan keputusan TESLA untuk turut serta dalam ekosistem Kenderaan Elektrik (EV) di Malaysia dan ini membuktikan keyakinan TESLA terhadap asas ekonomi dan persekitaran perniagaan yang kondusif di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, walaupun telah banyak jenama global utama memilih untuk melabur di Malaysia, MITI dan agensinya akan terus meningkatkan usaha dalam memperkasa kemudahan menjalankan perniagaan.
Pada masa sama, ia akan terus menaikkan profil Malaysia sebagai negara pro-perdagangan, pro industri dan pro-pelaburan.
"Kami juga akan memanfaatkan ekosistem elektrik dan elektronik secara strategik bagi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan bagi teknologi berkaitan mobiliti elektrik.
"Kemasukan TESLA dipermudahkan oleh MITI melalui pengenalan inisiatif BEV Global Leaders bagi tujuan membantu meningkatkan permintaan BEV dalam pasaran tempatan dan menggalakkan pembangunan keseluruhan ekosistem untuk menyokong penggunaan BEV.
"Di samping itu, inisiatif ini bertujuan mendapatkan pelaburan daripada syarikat pengeluar BEV global terkemuka di Malaysia," ujarnya.
Tambahnya, TESLA ialah pemohon pertama inisiatif oleh MITI tersebut.

Malaysia Welcomes @Tesla! @MITIMalaysia has approved Tesla's application to import BEVs into Malaysia. Tesla will establish a Head Office, Tesla Experience & Service Centres, and Supercharger network, simultaneously creating skilled & better paying jobs for M'sians. pic.twitter.com/BbQP7jNazX

— Tengku Zafrul (@tzafrul_aziz) March 1, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Tesla #Bateri Kenderaan Elektrik #kenderaan elektrik