Tesco nafi khabar angin bakal hentikan operasi di Malaysia
Astro Awani
September 4, 2016 10:20 MYT
September 4, 2016 10:20 MYT
Syarikat rangkaian pasar raya besar Tesco Malaysia menafikan khabar angin yang tersebar di media sosial yang kononnya syarikat itu akan menutup operasinya di negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Stores (Malaysia), Paul Ritchie berkata mesej yang disebarkan menerusi aplikasi Whatsapp tidak dikeluarkan oleh pihaknya.
“Kami ingin yakinkan semua rakan setugas, pembekal dan rakan niaga kami yang Tesco bertekad untuk terus memberikan perkhidmatan kepada pelanggan, dan memperkukuhkan perniagaan kami di seluruh Malaysia,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Justeru Tesco memohon agar semua pihak agar berkongsi maklumat secara berhemah selain mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menghubungi syarikat itu untuk mendapatkan penjelasan.
Orang ramai juga boleh melayari Facebook rasmi syarikat itu untuk mengetahui lebih lanjut tentang Tesco Malaysia.
Sebelum ini tersebar khabar angin yang kononnya Tesco bakal meninggalkan Malaysia ekoran faktor ekonomi selain cukai yang tidak memberansangkan.
Selain itu, Tesco Malaysia dikatakan sedang membuat pemberhentian pekerja secara berperingkat menerusi inisiatif sukarela (VSS) dan bersama (MSS).
Dalam kenyataan palsu itu, Tesco juga didakwa sedang berbincang dengan beberapa syarikat peruncitan di negara ini berkaitan pembidaan jualan stor milik Tesco di Malaysia.