Tertarik dengan kempen HOC, permintaan pembiayaan rumah melebihi paras sebelum pandemik - Laporan BNM
September 29, 2021 17:41 MYT
Berdasarkan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Pertama 2021 Bank Negara Malaysia (BNM), ia mendapati permintaan untuk pembiayaan telah pulih melebihi tahap sebelum pandemik dengan permohonan pinjaman meningkat merentasi kebanyakan segmen harga rumah.
"Dalam tempoh itu, transaksi perumahan juga terus meningkat disebabkan oleh pembelian rumah lebih awal berikutan jangkaan bahawa Kempen Pemilikan Rumah (HOC) akan tamat pada akhir Mei 2021.
"Ini menyaksikan kadar kelulusan keseluruhan pada separuh pertama 2021 adalah sebanyak 73.2% berbanding 71.5% pada 2020 dan purata 2013-2019 pada paras 75.5%.
"Bagaimanapun, ia terkecuali bagi hartanah berharga lebih RM1 juta yang mana kadar kelulusannya masih mencerminkan bank-bank mengambil risiko secara lebih berhati-hati," katanya dalam laporan tersebut yang diterbitkan hari ini.
Secara dasarnya, pada separuh pertama 2021, transaksi perumahan adalah lebih perlahan berbanding separuh kedua 2020 berikutan redanya kesan respons positif terhadap pelbagai insentif pemilikan rumah yang diperkenalkan kerajaan.
Sekatan pergerakan yang kembali dilaksanakan dan kesukaran operasi berikutan penularan semula kes COVID-19 juga menjejaskan aktiviti pasaran pada suku kedua.
Menurut laporan itu, selaras dengan aktiviti pasaran yang lebih perlahan, bilangan rumah tidak terjual meningkat kepada 181,460 unit pada suku kedua 2021 berbanding 167,104 unit pada suku keempat 2020.
Sebahagian besar rumah tidak terjual ini berharga lebih daripada RM300,000 dan pangsapuri berperkhidmatan yang sedang dibina.
"Beberapa projek perumahan baharu yang dilancarkan pada suku-suku tahunan sebelumnya yang mencatatkan jualan yang lebih perlahan pada tempoh ini turut menyumbang kepada peningkatan unit yang tidak terjual," katanya.
Namun, jelasnya, pemerhati pasaran menjangkakan aktiviti akan meningkat berikutan kelonggaran sekatan pergerakan dan kegiatan ekonomi yang pulih secara beransur-ansur seperti yang berlaku pada separuh kedua 2020.
Bekalan hartanah kediaman baharu dilancarkan kemungkinan akan beralih ke segmen harga pasaran massa, seperti yang dilihat pada bahagian hartanah yang lebih tinggi dengan harga RM500,000 dan ke bawah iaitu pada separuh pertama 2021 sebanyak 71.6% manakala purata dalam tempoh 2015-2019 pada paras 65.9%.
Pelarasan seperti ini akan terus mengurangkan ketidakpadanan penawaran dan permintaan di samping meningkatkan kemampuan untuk memiliki rumah secara keseluruhan.
"Sejajar dengan permintaan yang berterusan dalam kalangan pembeli rumah kali pertama, keadaan ini dijangka mengurangkan risiko pembetulan harga rumah yang ketara," tambahnya.
Berdasarkan penerbitan terkini laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) bagi separuh pertama 2021, pertumbuhan harga rumah secara keseluruhan dijangka kekal mendatar dalam tempoh 6 bulan pertama 2021 berbanding anggaran awal pertumbuhan Indeks Harga Rumah Malaysia (IHRM) pada -0.3%, dengan jangkaan pasaran akan pulih menjelang 2022.