Terowong Gurney Drive-Bagan Ajam terajui kemajuan
Astro Awani
Mac 9, 2013 08:58 MYT
Mac 9, 2013 08:58 MYT
Projek infrastruktur bernilai RM6.3 bilion melibatkan pembinaan terowong bawah laut menyambungkan Gurney Drive ke Bagan Ajam akan menjadi pemangkin pembaharuan dan kemajuan untuk Pulau Pinang dan negeri-negeri di utara tanah air.
Menurut pengerusi Konsortium Zenith BUCG Sdn Berhad Datuk Zarul Ahmad Zulkifli, Konsortium Zenith BUCG yang akan menerajui usaha pembinaan itu cukup bersedia bersama lima rakan kongsi pelbagai negara untuk mengendali projek ini.
Syarikat yang terlibat termasuk Zenith Construction Sdn Bhd, China Railway Consruction Corporation Ltd., Beijing Urban Construction Group, Sri Tinggi Sdn Bhd dan Juteras Sdn Bhd.
Bersama, kelima-lima syarikat pembinaan tersebut mempunyai modal berbayar terkumpul sebanyak RM4.55 bilion.
Zarul berkata, tidak timbul sebarang isu tahap keupayaan konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd memandangkan rakan kongsi antarabangsa semuanya mempunyai rekod cemerlang dalam bidang masing masing.