Teroka peluang baharu ekonomi, kurangkan kebergantungan hutang - Pakar

Nina Rozman
Julai 17, 2024 04:50 MYT
Untuk mencapai pembangunan ekonomi yang mampan, negara perlu seimbangkan antara pengambilan hutang dan pelaburan swasta agar dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang stabil. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penting untuk melihat cara lain untuk mengukuhkan ekonomi dan tidak hanya bergantung kepada penambahan hutang bagi tujuan pembangunan.
Pensyarah Kanan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya, Safiah Omar melihat hutang boleh menjadi alat untuk memperoleh dana yang diperlukan tetapi kebergantungan yang berlebihan boleh membawa kepada masalah kewangan jangka panjang.
Katanya, ini termasuk beban hutang yang tinggi serta mendorong kepada ketidakstabilan ekonomi.
Berkongsi pandangannya dalam program Niaga AWANI pada Rabu, Safiah berkata, negara-negara yang mempunyai hutang yang tinggi sering menghadapi kesukaran untuk membayar semula hutang.
Malah, kebiasaannya ia mengambil tempoh masa yang panjang untuk dilangsaikan.
"Mungkin kita perlu melihat dengan lebih mendalam, sama ada terdapat pelaburan langsung daripada syarikat-syarikat swasta atau mana-mana organisasi yang boleh membantu kita membuka lebih banyak peluang dan menyokong pembangunan yang boleh meningkatkan ekonomi negara Malaysia,
"Apa yang kita lihat sekarang ialah kita perlu memberi lebih banyak rangsangan kepada syarikat-syarikat swasta supaya mereka boleh membangunkan atau membuka lebih banyak jenis perdagangan dan produktiviti," tambah Safiah.
Justeru beliau menambah, pengawalan dari segi pelaksanaan projek-proejk adalah penting untuk memastikan setiap projek berjalan dengan baik dan memberi pulangan memberangsangkan sekali gus menguntungkan rakyat serta kewangan negara.
Untuk mencapai pembangunan ekonomi yang mampan, negara perlu seimbangkan antara pengambilan hutang dan pelaburan swasta agar dapat mencapai pertumbuhan ekonomi yang stabil serta menguntungkan semua pihak.
Di samping itu, hutang Kerajaan Persekutuan meningkat RM50 bilion kepada RM1.22 trilion menjelang akhir April 2024, berbanding RM1.17 trilion pada akhir 2023, menurut Kementerian Kewangan (MOF).
Dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Datuk Ahmad Amzad Mohamed (Perikatan Nasional-Kuala Terengganu), kementerian itu berkata ia telah melakukan pinjaman kasar berjumlah RM70.5 bilion dalam empat bulan pertama 2024.
Ini termasuk terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berjumlah RM30 bilion, Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) berjumlah RM34.5 bilion, dan bil Perbendaharaan Malaysia berjumlah RM6 bilion.
Kata MOF, pinjaman ini digunakan untuk menyelesaikan hutang matang berjumlah RM20.6 bilion, dengan baki RM49.9 bilion menampung defisit dan tempoh matang hutang masa hadapan.
#pelaburan #Hutang negara #Safiah Omar #Beban