Teroka, manfaatkan AI untuk pertingkat mutu perkhidmatan awam - Fahmi

Israr Khalid
Julai 9, 2024 22:55 MYT
Fahmi (tiga dari kanan) mencuba salah satu kecanggihan teknologi dorongan AI yang dipamer di Pusat Pengalaman AI CelcomDigi (AiX) di Hub CelcomDigi, Subang Jaya pada Selasa. - Astro AWANI
SUBANG JAYA: Kementerian dan agensi kerajaan diseru untuk meneroka serta memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi memperingkat kecekapan dan mutu perkhidmatan kepada rakyat.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, ketika ini sudah banyak pihak yang memanfaatkan AI untuk aplikasi tertentu dan terbukti berupaya melonjak keupayaan produk dan perkhidmatan, namun penggunaannya masih belum menyeluruh.
Ujarnya, kerja-kerja seperti kemasukan data, pengurusan rekod dan penyimpanan dapat dilunaskan oleh AI dengan lebih cekap, selain mampu menjimatkan masa serta mengurangkan kemungkinan kesilapan manusia.
"Kakitangan awam dapat menyerlahkan kecekapan digital mereka dan memajukan karier mereka dengan menggunakan masa (yang dijimat dengan bantuan AI) untuk meningkatkan kemahiran dan latihan semula.
“Dengan merangkul inovasi digital, kita dapat mentransformasi dan menambah baik urus tadbir kerajaan, meningkatkan kecekapan, produktiviti dan kemampanan," katanya.
Beliau mengambil contoh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang boleh memanfaatkan AI untuk memperkaya dan memperluas aktiviti pengauditan yang dijalankan.
Lanjut Fahmi, visi kerajaan adalah untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang kompetitif, berwibawa dan makmur, didorong kuasa inovasi digital.
Maka untuk mencapai matlamat itu, kerajaan berusaha untuk memastikan infrastuktur digital dibangun dengan baik, mudah diakses dan selamat, sekali gus menyediakan asas teguh untuk masyarakat melangkah dalam era digital hari ini dan masa depan.
“Sekiranya ada sebarang teknologi AI untuk membantu melancarkan proses dan aspek tadbir urus serta kecekapan bagi perkhidmatan yang disediakan oleh agensi ini, maka kita amat alu-alukan,” katanya selepas melancarkan Pusat Pengalaman AI CelcomDigi (AiX) di Hub CelcomDigi, Subang Jaya di sini hari ini.
AiX merupakan sebuah hab sehenti inovasi dan kolaborasi yang dibina untuk memimpin, menginspirasi dan memajukan penciptaan penyelesaian digital berkelas dunia merentas pelbagai sektor.
Disokong ekosistem luas dibentuk oleh 40 pemain teknologi global terkemuka dan rakan kerjasama setempat, AiX akan berperanan sebagai titik tumpuan untuk kolaborasi rentas industri, mengangkat teknologi baharu seperti 5G, AI, Realiti Lanjutan (Extended Reality, XR), robotik, analitik dan Metaverse.
Fasiliti ini direka untuk merangsang kemajuan teknologi dan bertumbuhan syarikat-syarikat pemula, perusahaan, dan kemahiran masa depan digital yang baharu bagi membina ekosistem inovasi yang mekar seterusnya memacu transformasi digital Malaysia.
AiX menempatkan dua ruang unggul dipanggil ‘The Infinity’, direka untuk memberikan pengunjung pengalaman simulasi masyarakat digital yang imersif dan interaktif menggunakan teknologi audio-visual tercanggih; dan ‘The Gallery’, ruang pameran fizikal kes kegunaan industri dunia sebenar untuk mempamer potensi transformatif teknologi dalam mengembangkan perusahaan.
Turut dipamerkan, 13 daripada 45 penyelesaian yang sedang menjalankan ‘live pilot’ dengan perusahaan Malaysia meliputi lapan industri iaitu pembuatan, logistik, tenaga, perkapalan, pelabuhan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan teknologi pertanian.
Jadualkan lawatan untuk pelajari bagaimana CelcomDigi AiX dapat menginspirasi dan memajukan transformasi digital Malaysia di innovation@celcomdigi.com.
#CelcomDigi #AiX #Fahmi Fadzil #AI
;