Terminal feri Puteri Harbour bakal sedia perjalanan ke Singapura, pacu pertumbuhan di Iskandar Puteri
Dagang News
Mac 3, 2025 11:00 MYT
Mac 3, 2025 11:00 MYT
UEM Sunrise Berhad tidak menolak kemungkinan bersedia bagi menawarkan perjalanan menerusi laluan air ke Singapura dari Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di sini dalam masa terdekat sekiranya mendapat kelulusan dari kerajaan republik itu.
ISKANDAR PUTERI: UEM Sunrise Berhad tidak menolak kemungkinan bersedia bagi menawarkan perjalanan menerusi laluan air ke Singapura dari Terminal Feri Antarabangsa Puteri Harbour di sini dalam masa terdekat sekiranya mendapat kelulusan dari kerajaan republik itu.
Menurut Pegawai Bertanggungjawab dan Ketua Pegawai Kewangannya, Hafizuddin Sulaiman, idea berkenaan memang sudah lama ada dalam perancangan syarikat pemaju hartanah yang terkemuka di Malaysia itu bagi menarik ramai pelawat berkunjung ke Iskandar Puteri.
"Kami memang pada bila-bila masa sahaja boleh membuka perkhidmatan feri ulang-alik dari terminal di Puteri Harbour ke Singapura namun masih perlu menunggu 'lampu hijau' dari negara jiran itu untuk memulakan operasi secara rasmi," jelasnya kepada DagangNews.
Ketika ini, terminal itu yang terletak di Lebuh Bahtera, Kota Iskandar mengendalikan feri menuju ke dua destinasi di Indonesia iaitu Tanjung Balai dan Batam dengan sejumlah 18 trip pergi balik setiap hari yang kelazimannya mengambil masa kurang dua jam sahaja.
Sebaliknya mereka yang ingin menaiki feri ke Singapura pula perlu ke terminal di Desaru dan Tanjung Pengelih dalam Daerah Kota Tinggi untuk menuju ke dermaga Tanah Merah di republik itu dengan secara keseluruhannya hanya beroperasi sebanyak lapan kali sehari.
"Justeru, ini akan memberi pilihan terbaharu kepada rakyat Singapura selain pelancong antarabangsa untuk masuk ke Johor dengan feri menerusi Iskandar Malaysia dan kami amat berharap perkhidmatan itu dapat direalisasikan segera," katanya penuh berkeyakinan.
Terminal di Puteri Harbour yang dibuka sejak 2013 memang dimiliki dan dikendalikan UEM Sunrise dengan dilengkapi banyak kemudahan termasuklah dewan menunggu, tandas, kaunter tiket, kedai serbaneka, pengurup wang asing, surau, wifi dan kawasan letak kereta awam.
Kompleks dua tingkat dengan jeti yang mampu memuatkan empat feri dalam satu masa itu turut mengandungi pelbagai agensi kerajaan antaranya polis, Jabatan Imigresen, Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan, serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Malaysia.
Hafizuddin malah melihat banyak potensi besar dapat diteroka menerusi operasi feri ke Singapura disebabkan faktor lokasi strategik Puteri Harbour sendiri yang berdekatan dengan banyak tarikan unik seperti pusat beli-belah, restoran dan taman tema Legoland.
"Berdasarkan pengalaman kami, ramai warga Indonesia yang menaiki feri ke Puteri Harbour merupakan pelancong kesihatan kerana mereka mahu mendapatkan rawatan terbaik dengan harga cukup berpatutan dari pelbagai hospital di sekitar Iskandar Puteri," ujarnya.
Sehubungan itu jelas beliau, peluang terbaik berkenaan wajar dimanfaatkan pula rakyat Singapura yang berhasrat menikmati pengalaman perkhidmatan perubatan berkualiti di zon koridor ekonomi Iskandar tersebut dan memacu sektor pelancongan kesihatan di Johor.
UEM Sunrise merupakan pemaju utama Iskandar Puteri dengan memiliki bank tanah seluas 5,643 ekar (2,284 hektar) dan potensi nilai pembangunan kasar mencecah RM60 bilion sejak memasuki Johor pada 2005 selain menjana lebih 15,000 peluang pekerjaan di negeri itu. - DagangNews.com
#Imigresen
#Indonesia
#Iskandar Malaysia
#Iskandar Puteri
#kastam
#Kota Tinggi
#Malaysia
#pelancong
#pelancongan
#sektor pelancongan
#Singapura
#UEM Sunrise