Teresa Kok akan ketuai misi minyak sawit ke China, AS mulai esok

Bernama
Oktober 20, 2018 18:32 MYT
Di Nanjing, China, kementerian itu berkata, Teresa akan merasmikan Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-China (POTS) 2018. - Gambar fail
Menteri Industri Utama, Teresa Kok akan mengetuai misi minyak sawit, ekonomi, promosi dan pelaburan ke China dan Amerika Syarikat (AS) mulai 21 hingga 28 Oktober ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkenaan berkata, misi itu bertujuan untuk meneroka peluang pasaran dan pelaburan serta kerjasama industri antara Malaysia dan kedua-dua negara.
"Misi itu juga bertujuan menyediakan platform kepada Malaysia untuk membincang dan menangani pelbagai isu berkaitan perdagangan dan akses pasaran dengan kedua-dua negara," katanya sambil menambah delegasi itu akan terdiri daripada pegawai kementerian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Majlis Minyak Sawit Malaysia.
Di Nanjing, China, kementerian itu berkata, Teresa akan merasmikan Pameran dan Seminar Perdagangan Minyak Sawit Malaysia-China (POTS) 2018.
Bertema "Meningkatkan Perdagangan, Memaksimumkan Peluang Melalui Minyak Sawit Malaysia", POTS 2018 merupakan satu perhimpunan pakar terkemuka dalam bidang minyak dan lemak, yang akan memberikan pandangan ke atas peluang perdagangan dan pelaburan dalam sektor minyak sawit.
Di San Francisco, AS, kementerian itu berkata, Teresa akan menjadi tetamu istimewa di "An Enchanted Evening with Martin Yan", majlis pelancaran siri televisyen baharu chef selebriti Martin Yan yang dinamakan "Rasa Malaysia bersama Martin Yan", yang akan mula disiar di saluran KQED 9 AS.
"Acara pelancaran itu akan menampilkan jamuan lapan hidangan klasik Malaysia dan Teresa juga akan bercakap dengan penulis makanan untuk mempromosi minyak sawit sebagai minyak masak semasa lawatannya," katanya.
MPI berkata, Teresa juga akan melawat kilang minyak dan lemak Wilmar di Stockton, California serta menemui wakil perdagangan dari Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia.
"Beliau juga akan bertemu diaspora Malaysia di San Francisco sebelum mengakhiri misinya di AS," katanya.
Pada 2017 Malaysia mengeksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak kelapa sawit bernilai RM9.42 bilion ke China, meningkat 6.4 peratus daripada RM8.85 bilion pada tahun sebelumnya, manakala jumlah nilai eksport produk minyak sawit ke Amerika Syarikat meningkat kepada RM4.58 bilion pada 2017, naik 16.2 peratus berbanding RM3.94 bilion pada 2016.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #China #ekonomi #Malaysia #minyak sawit #Teresa Kok
;