Teraju sedia peruntukan RM100 juta untuk DKB

Fauzi Suhaimi
Ogos 11, 2020 15:49 MYT
Mohd Redzuan berkata, sektor keutamaan tambahan lain di Wilayah Koridor pula meliputi minyak dan gas, logistik serta ruminan di Sabah dan Sarawak. - Foto BERNAMA
Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) meluluskan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk program Dana Kemakmuran Bumiputera (DKB).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, DKB merupakan program baharu berbentuk geran secara pembayaran balik (reimbursement basis) yang bertindak sebagai pemangkin pelaburan strategik sektor swasta dalam pembangunan ekonomi negara.
Katanya, antara sektor yang menjadi keutamaan dalam DKB meliputi pembuatan, pertanian dan industri bio, ekonomi digital, perkhidmatan kejuruteraan serta pembangunan hartanah di atas tanah rizab Melayu, tanah wakaf atau tanah adat (Sabah dan Sarawak).
"Selain itu, sektor keutamaan tambahan lain di Wilayah Koridor pula meliputi minyak dan gas, logistik serta ruminan di Sabah dan Sarawak.
"Program DKB ini adalah salah satu inisiatif kerajaan untuk mengalakkan pertumbuhan ekonomi dan merangsang pelaburan baharu oleh syarikat Bumiputera yang berkelayakan.
"Antara objektif utama program ini adalah memberi sokongan dalam bentuk 'tipping point' agar projek yang akan dilaksanakan lebih berdaya maju dan berdaya saing, mewujudkan peluang-peluang pekerjaan di semua peringkat sekali gus mencapai pertumbuhan yang mampan dengan penggunaan sistem automasi yang berteknologi tinggi," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.
Hadir sama timbalannya, Datin Mastura Mohd Yazid dan Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md Silmi Abd Rahman.
Dalam pada itu, Mohd Redzuan berkata, komponen yang akan dibiayai melalui pemberian dana itu terdiri daripada pembelian mesin dan kelengkapan peralaan atau projek pembangunan melibatkan infrastruktur.
"Kos projek yang layak dipertimbangkan untuk menyertai program ini bermula daripada RM500,000 sehingga RM100 juta bagi pembelian mesin dan kelengkapan peralatan atau sekurang-kurangnya RM2.5 juta hingga RM100 juta bagi projek pembangunan.
"Had bantuan kewangan akan disalurkan adalah sehingga 10 peratus daripada kos projek yang layak atau RM2 juta (yang mana lebih rendah) secara pembayaran balik," jelasnya.
#agenda #Bumiputera #Dana Kemakmuran Bumiputera #Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof #ekonomi #kerajaan #Melayu #menteri #minyak #pelaburan #Perdana Menteri #Teraju #Unit Peneraju Agenda Bumiputera
;