Tengkujuh: Pengusaha industri pelancongan di Terengganu masih beroperasi seperti biasa
Dagang News
Oktober 17, 2022 10:15 MYT
Oktober 17, 2022 10:15 MYT
KUALA TERENGGANU: Industri pelancongan di Terengganu termasuk pulau-pulau peranginan dan Tasik Kenyir masih beroperasi seperti biasa walaupun musim tengkujuh akan melanda tidak lama lagi.
Beberapa pengusaha industri pelancongan Terengganu yang dihubungi DagangNews.com memaklumkan orang ramai dialu-alukan datang bercuti ke Terengganu untuk melihat sendiri kehidupan rakyat di negeri itu sepanjang musim tengkujuh.
Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, secara dasarnya, semua aktiviti air seperti selam snorkeling dan selam skuba tidak akan dilakukan kerana faktor keselamatan.
Menurutnya, aktiviti itu tidak dibenarkan kerana pengusaha pelancongan tidak akan berkompromi soal nyawa dan keselamatan pelancong kerana arus sangat kuat dan ombak juga sangat tinggi ketika musim tengkujuh.
"Bagaimanapun, pelancong masih boleh datang ke perkampungan nelayan tradisional di Pulau Perhentian untuk melihat kehidupan masyarakat di sini dengan lebih dekat.
"Di sini, ada kemudahan yang lengkap seperti medan selera, masjid, kedai runcit, balai polis dan klinik yang sesuai untuk mereka yang mahu merasai sendiri pengalaman hidup komuniti nelayan di Pulau Perhentian.
"Kebanyakan rumah inap desa (homestay) dan chalet kecil masih menerima kedatangan pelancong dan mereka boleh menikmati keenakan makanan warisan Terengganu di pulau peranginan itu," katanya ketika dihubungi DagangNews.com hari ini.
Monsun Timur Laut dijangka bermula November 2022 hingga Februari 2023 yang berisiko menyebabkan berlakunya banjir di kawasan penempatan rendah dan pinggir sungai.
Selain itu, Pengerusi Persatuan Pelancongan Tasik Kenyir, Abdul Aziz Abdul Rahim berkata, semua 72 pengusaha bot di tasik itu sedia menerima tempahan untuk pelancong pada musim tengkujuh terutama golongan pemancing tegar dari seluruh dunia.
Menurutnya, sejak dahulu lagi Tasik Kenyir akan menerima limpahan pelancong sepanjang musim tengkujuh kerana tangkapan ikan lebih meriah dan banyak penganjur memilihnya sebagai lokasi pertandingan memancing bertaraf dunia.
"Setakat ini tempahan yang diterima adalah menggalakkan dan orang ramai boleh terus menghubungi pengusaha bot yang menawarkan pelbagai pakej percutian sesuai dengan bajet mereka.
"Mengenai aspek keselamatan pula, kita sentiasa mengingatkan semua pengusaha bot agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa agar pelancong dapat menikmati percutian yang selesa dan selamat di Tasik Kenyir sepanjang musim tengkujuh," katanya.
Senada dengan beliau ialah Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Chapter Terengganu, Suaibah Harun yang berharap orang ramai meneruskan hasrat bercuti ke bandar raya Kuala Terengganu yang terkenal sebagai 'bandar warisan pesisir air'.
"Jangan risau untuk datang ke Terengganu pada musim tengkujuh kerana lokasi menarik seperti Pasar Kedai Payang, Dataran Batu Buruk dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu masih beroperasi seperti biasa.
"Begitu juga dengan pengusaha restoran dan kedai makan yang menyajikan makanan tradisional seperti nasi dagang, keropok lekor, satar dan laksam....semuanya tidak menutup operasi pada musim tengkujuh.
"Bagi peminat kraftangan, songket dan batik pula, mereka boleh mengunjungi premis perniagaan milik pengusaha tempatan untuk memiliki pelbagai rekaan terkini dengan harga yang murah.
"Semua hotel di bawah MAH Terengganu juga sedia menerima kedatangan pelancong dan akan memberi perkhidmatan serta layanan terbaik bagi memastikan pelancong menikmati percutian yang indah dan manis untuk dikenang sepanjang berada di Terengganu nanti," katanya. - DagangNews.com