Tempoh perkhidmatan Nasir dilanjutkan hingga tahun hadapan - KWSP
Astro Awani
November 12, 2018 19:18 MYT
November 12, 2018 19:18 MYT
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan Datuk Mohamad Nasir Ab Latif akan terus berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP hingga 31 Disember 2019.
Keputusan ini dicapai dengan persetujuan Lembaga Pengarah syarikat dan kelulusan Kementerian Kewangan.
Mohamad Nasir telah menyandang jawatan tersebut sejak 15 April 2013 dan dijadual bersara pada 14 November 2018.
Keputusan untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan beliau adalah bagi memastikan kesinambungan di bahagian Pelaburan KWSP di samping membolehkan pelan pengambilalihan yang lancar, menurut kenyataan daripada syarikat itu hari ini.
Mohamad Nasir memulakan kerjayanya di KWSP pada 1982 di mana beliau memegang beberapa jawatan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bahagian pelaburan.
Beliau pernah memegang jawatan sebagai Pegawai Penguatkuasa Negeri (1990-1995), Pegawai Penyelidik Kanan, Pengurus dan Pengurus Kanan di Jabatan Penyelidikan Pelaburan dan Ekonomi (1995-2003) dan Pengurus Besar di Jabatan Pelaburan Ekuiti Antarabangsa (2009-2013).
Mohamad Nasir juga merupakan Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Plantation Berhad, PLUS Malaysia Berhad, Yinson Holdings Berhad, BBCC Development Sdn Bhd, Projek Battersea Company Limited dan Yarra Park City Pty Ltd.
Beliau mempunyai kelulusan Sarjana Muda Sains Sosial (Ekonomi) dari Universiti Sains Malaysia dan mendapat Diploma Perakaunan dan Kewangan dari Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun pada tahun 1996.
Beliau juga memiliki Sarjana Sains dalam Analisis Pelaburan dari Universiti Stirling, United Kingdom (1999).
#EPF
#investment
#Kementerian Kewangan
#Khazanah
#KWSP
#mohamad nasir
#mohamad nasir ab latif
#Nasir
#PLUS
#Sime Darby
#United Kingdom